Seo Services

Malaysia Perlu Pusat Pemantauan Gempa Bumi - Muhyiddin


RANAU: Malaysia memerlukan sebuah pusat pemantauan gempa bumi sebagai keperluan dan kesiapsiagaan negara menghadapi kejadian gempa bumi pada masa akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pusat pemantauan gempa bumi itu dilihat perlu memandangkan Malaysia, khasnya di Sabah, masih belum mempunyai pusat yang khusus untuk mengesan pergerakan kemungkinan berlakunya bencana alam itu.

"Ini (gempa bumi) bukan perkara yang kita boleh duga. Bagaimanapun, bencana ini kini berlaku. Oleh itu, kita harus mengambil langkah untuk menangani kemungkinan di masa hadapan. Kita telah ada jabatan seperti Geo Sains dan sebagainya, cuma kita tidak ada pusat pemantauan gempa bumi.

"Seperti kejadian baru-baru ini, tiada satu pihak mengeluarkan amaran (awal) ia akan berlaku, kerana tidak ada jabatan khususnya di Sabah yang dipertanggungjawabkan bagi memantau bencana ini," katanya selepas mendengar taklimat mengenai bencana itu di sini, hari Ahad.

Muhyiddin berkata kajian akan dilakukan terlebih dahulu membabitkan pakar geosains dari dalam mahupun luar negara untuk mengenal pasti langkah ke arah penubuhan pusat itu.

Beliau berkata pusat itu kelak akan menempatkan pakar dalam bidang berkenaan selain peralatan berkaitan supaya tinjauan bencana dapat dilakukan sepanjang masa.

Katanya kajian daripada pakar geosains amat diperlukan dalam memperkenalkan Prosedur Operasi Standard termasuk kaedah perpindahan ke tempat selamat, menyediakan sistem amaran awal dan memberi latihan kepada penduduk sekitar ketika menghadapi gempa bumi.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata Masjid Ar Rahman di Pekan Ranau akan dibina semula dengan kos antara RM7 hingga RM8 juta berikutan kerosakan teruk yang dialami akibat bencana itu.

Beliau berkata pembinaan masjid itu kelak perlu mengambil kira aspek gempa bumi di Ranau dengan menggunakan teknologi moden yang tahan gegaran seperti diguna pakai di banyak negara maju termasuk Jepun walaupun mungkin memakan kos lebih daripada biasa.

"Ini saya serahkan kepada pakar Jabatan Kerja Raya untuk memperkenalkan teknologi baharu yang boleh menyerap kalau ada gegaran besar (agar) tidak membawa bencana kepada bangunan tersebut (masjid)," katanya.

Mengenai 33 buah sekolah di Ranau yang rosak, Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata kementerian bersedia menyediakan peruntukan awal berjumlah RM5 juta namun bangunan terjejas itu perlu diuji bagi mengesahkan tahap kerosakan yang dialami.

Beliau berkata kerosakan yang dialami bangunan seperti sekolah, asrama dan flat guru SMK Agama Ranau yang menerima kesan agak besar perlu dinilai sama ada masih boleh digunakan atau sebaliknya.

Sekiranya masih boleh digunakan, kerajaan cuma akan memperbaiki kerosakan itu namun jika tidak selamat digunakan dan perlu dirobohkan, maka bangunan baharu akan dibina, katanya. - Bernama
Malaysia Perlu Pusat Pemantauan Gempa Bumi - Muhyiddin Malaysia Perlu Pusat Pemantauan Gempa Bumi - Muhyiddin Reviewed by Salfian Nawawi on June 07, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.