BETONG: Sarawak tidak mahu lagi diperlakukan seperti anak tiri di Malaysia, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.
Jelasnya, negeri ini wajar menerima pembangunan yang seimbang dengan Semenanjung Malaysia lebih-lebih lagi apabila Sarawak merupakan komponen penting yang membentuk negara ini.
“Kita tidak mahu Sarawak ketinggalan berbanding Semenanjung Malaysia. Pembangunan di Semenanjung Malaysia begitu pesat dan kita mahukan yang begitu di Bumi Kenyalang ini.
“Semenanjung ada lebuh raya dari Johor ke Kangar (Perlis), kita juga mahu lebuh raya dari Lundu ke Lawas. Apa ada di Semenanjung, kita juga mahu di Sarawak… kita tidak mahu lagi jadi anak tiri di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sambutan Rumah Terbuka Gawai di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini, semalam.
Hadir sama, isterinya Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu Numpang serta isteri Dato Sri Empiang Jabu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Adenan berkata, bagi memastikan suara negeri ini lebih kedengaran, penduduk Sarawak perlu terus bersatu padu bagi membuktikan kekuatan.
“Jika anda lemah, tidak ada sesiapa akan menghiraukan anda, hanya jika anda kuat maka mereka akan menjaga kepentingan anda,” katanya.
Beliau pada masa sama turut menyeru sokongan rakyat pada Pilihan Raya Negeri akan datang bagi mempamerkan keutuhan perpaduan di Sarawak.
Sokongan itu yang sekali gus memberi mandat untuknya berbakti lima tahun lagi katanya, akan memastikan suara kita di Sarawak semakin kedengaran.
Dalam pada itu, Adenan menegaskan bahawa beliau tidak akan berhenti berusaha selagi negeri ini belum menerima royalti minyak sebanyak 20 peratus, berbanding lima peratus kini, selagi tidak mendapat apa dimahukan.
Sejak Adenan memegang jawatan sebagai Ketua Menteri, antara pencapaiannya adalah menurunkan tarif elektrik bagi pengguna domestik, menghapuskan tiga tol daripada jumlah empat keseluruhan dan menyelaraskan kadar tambang feri di Sarawak kepada RM1 sahaja.
“Itu merupakan apa yang saya lakukan untuk anda, lebih-lebih lagi apabila dibebankan dengan GST.
“Beri saya peluang untuk membuktikan kepada anda kerana saya mahu berada di posisi lebih baik untuk berunding bagi Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Jabu memohon agar cadangan bagi mewujudkan pusat rekreasi di Betong dipertimbangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11.
Kemudahan itu perlu jelasnya, memandangkan penduduk di bahagian ini semakin padat.
“Kita serahkan perkara ini kepada Unit Perancangan Negeri untuk memberi peruntukann bagi membina taman rekreasi ini lebih-lebih lagi apabila kita tidak mempunyai kemudahan sedemikian di kawasan ini,” katanya. - UB
Sarawak Tidak Mahu Diperlaku Seperti Anak Tiri
Reviewed by uMieySurianie
on
June 03, 2015
Rating:
No comments: