KUCHING: Semakin lama Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem memimpin Sarawak semakin banyak perubahan dan pembangunan yang dapat dilaksanakan untuk rakyat khususnya di luar bandar.
Perkara itu disuarakan oleh Menteri Muda Pembangunan Masyarakat Datuk Peter Nansian Ngusie yang melihat banyak pembaharuan dan pembangunan dilaksanakan di bawah kepimpinan Adenan meskipun baharu setahun memimpin negeri ini.
“Beliau (Adenan) telah memberi khidmat terbaik khususnya penekanan tentang pembangunan rakyat di kawasan luar bandar sepanjang setahun beliau memimpin negeri ini.
“Beliau amat memahami jiwa rakyat dan keperluan yang perlu dilaksanakan untuk masyarakat di kawasan luar bandar bagi memberi pembangunan yang seimbang kepada rakyat secara keseluruhan,” katanya.
Nansian berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak anjurannya di Pusat Persatuan Penyelidikan dan Pembangunan Pergerakan Singai Sarawak (REDEEM) di Kampung Apar, Bau dekat sini semalam.
Justeru, beliau berharap rakyat terus memberi peluang dan sokongan padu kepada Adenan bagi memimpin negeri ini.
“Bagi saya, saya tidak akan memberi beliau (Adenan) berkhidmat hanya lima tahun tetapi sepuluh tahun atau lebih lama kerana sepanjang beliau memimpin banyak perubahan dan pembangunan serta dasar baharu diperkenalkan untuk Sarawak secara keseluruhan.
“Jika beliau memimpin lebih lama lebih banyak apa yang rakyat perlukan dapat dilaksanakan,” tambahnya.
Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Nansian berkata beliau menyerahkan kepada Adenan yang merupakan pucuk kepimpinan Barisan Nasional (BN) negeri untuk mengekalkan penyandang kerusi Tasik Biru atau sebaliknya.
“Ia terpulang kepada keputusan Ketua Menteri kerana beliau adalah pengerusi BN Sarawak, kita menerima setiap keputusan beliau, hanya beliau yang boleh membuat keputusan itu,” katanya ketika diminta mengulas sama ada beliau akan dikekalkan sebagai calon pada PRN atau sebaliknya.
Nansian yang kini merupakan ahli Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) berharap beliau dan penduduk di kawasan DUN Tasik Biru dapat mendengar berita baik mengenai perkara itu pada 13 Jun ini.
“Apabila beliau datang ke sini (Pusat REDEEM) pada 13 Jun ini untuk merasmikan Karnival Gawai REDEEM kita amat berharap untuk mendengar berita baik daripada beliau,” ujarnya. - UB
Semakin Lama Adenan Memimpin Semakin Banyak Perubahan, Pembangunan Dilaksana
Reviewed by uMieySurianie
on
June 03, 2015
Rating:
No comments: