Seo Services

Mahasiswa Malaysia Ukir Nama Di Switzerland



KANGAR: Seorang mahasiswa Malaysia mengharumkan nama negara apabila kumpulannya diiktiraf kumpulan terbaik di "The Novartis International Biotechnology Leadership Camp 2015" di Basel, Switzerland.

Nurul Aqilah Aqiludeen, dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang digandingkan dengan mahasiswa setiap seorang dari Vietnam, Filipina, Jerman, Maghribi, United Kingdom dan dua mahasiswa Switzerland mengetepikan 63 peserta terbaik lain dari seluruh dunia.

Seorang lagi wakil Malaysia, Soke Chee dari Universiti Malaya dalam kumpulan lain bersama wakil beberapa universiti asing memberikan persembahan terbaik walaupun tidak memenangi hadiah.

Persidangan tiga hari itu dianjurkan oleh Novartis AG dari Switzerland yang berakhir hari ini.

Soke Chee ialah juara The Malaysia BioCamp 2015 yang dikendalikan Novartis Malaysia, Malaysian Biotechnology Corporation dan Pusat Kecemerlangan Industri Kluster Penjagaan Kesihatan (ICoE Healthcare) yang diterajui Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Pengerusi ICoE Healthcare yang juga Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, kejayaan Nurul Aqilah, mahasiswa jurusan Mikrobiologi UNIMAS amat membanggakan kerana selain mendengar pembentangan peserta diwajibkan menyelesaikan beberapa tugasan untuk penilaian.

Peserta program turut disertai penuntut ijazah Sarjana dan ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan tidak terhad kepada penuntut ijazah Sarjana Muda, kata Dr Kamarudin dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Katanya, hanya dua kategori hadiah disediakan iaitu untuk kumpulan terbaik daripada sembilan kumpulan, manakala bagi peserta individu disediakan tiga anugerah daripada 63 peserta yang mengambil bahagian.

"Kejayaan ini amat membanggakan kerana ia penyertaan kali pertama mahasiswa Malaysia dalam program tersebut. Sebagai pengerusi ICoE Healthcare, saya mengharapkan lebih ramai mahasiswa Malaysia akan terpilih mewakili negara pada masa depan," katanya.

Program tersebut antara inisiatif yang digariskan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, April lalu.

Matlamat program itu antara lainnya untuk mendedahkan pelajar dengan persekitaran kerja di sektor industri agar minda mereka lebih terbuka sebelum memasuki alam pekerjaan. - Bernama

Mahasiswa Malaysia Ukir Nama Di Switzerland Mahasiswa Malaysia Ukir Nama Di Switzerland Reviewed by Admin on August 28, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.