Seo Services

#Bajet2016 : Komited Tambah Baik Dan Perkukuh Pasaran Kewangan Islam


KUALA LUMPUR - Kerajaan komited untuk meningkatkan dan mengukuhkan pasaran kewangan Islam, sebagai sebahagian daripada strategi untuk membangun dan memakmurkan negara.

Justeru itu, Platform Akaun Pelaburan (IAP) telah diperkenalkan dengan dana permulaan sebanyak RM150 juta.

IAP ini adalah platform pelaburan baharu patuh Syariah yang bertujuan menarik penyertaan pelabur individu dan institusi untuk melabur dan merancakkan pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

"Platform berpusat pelbagai bank telah ditubuhkan untuk mengendali IAP yang sedang dibangunkan dan dijangka dilancarkan pada bulan Januari 2016,"kata Kementerian Kewangan dalam Laporan Ekonomi 2015/2016 yang dikeluarkan hari ini.

Laporan itu dikeluarkan sempena pembentangan Bajet 2016 di Parlimen oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan.

Kerajaan juga komited untuk meningkatkan aktiviti sukuk dan pasaran bon domestik sebagai mekanisme pembiayaan yang penting bagi sektor swasta dan awam.

Sehubungan ini, Bon dan Sukuk Dagangan Bursa (ETBS) telah ditubuhkan untuk memudahkan penyenaraian dan dagangan bon dan sukuk.

Selain itu, usaha juga diambil untuk membangunkan penawaran dan permintaan dengan melibatkan penerbit serta membimbing pelabur institusi dan runcit.

Sementara itu, menurut kementerian tersebut, kerajaan terus meningkatkan pelaburan awam dan swasta dengan melaksanakan pelbagai projek infrastruktur strategik untuk memaksimumkan faedah ekonomi dan sosial.

Sektor minyak, gas dan tenaga ialah salah satu daripada Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang bertujuan menarik pelaburan, meningkatkan peluang pekerjaan dan menggalakkan pemindahan teknologi bagi meletakkan Malaysia sebagai hab industri minyak dan gas di Rantau Asia Pasifik menjelang 2017.

Melalui inisiatif ini, Kompleks Bersepadu Pengerang Petroleum (PIPC) telah dikenal pasti sebagai salah satu daripada projek permulaan untuk mengembangkan aktiviti hiliran, dengan terdapat dua projek utama yang sedang dilaksanakan di PIPC.

Dalam usaha mencapai kemampanan fiskal jangka panjang dan kestabilan ekonomi makroekonomi, Kementerian Kewangan berkata, penekanan diberikan untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan mengurangkan defisit fiskal bagi mencapai bajet berimbang menjelang 2020.

"Dalam hal ini, antara inisiatif strategik yang diambil adalah program rasionalisasi subsidi dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan," kata kementerian itu.

Antara program rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan oleh kerajaan ialah pelaksanaan mekanisme pengapungan terkawal bagi menentukan harga runcit RON95 dan diesel berdasarkan harga pasaran.

Melalui mekanisme ini, subsidi minyak dihapuskan dan penjimatan ini disalurkan kepada program sosial dan pembangunan. - Bernama
#Bajet2016 : Komited Tambah Baik Dan Perkukuh Pasaran Kewangan Islam #Bajet2016 : Komited Tambah Baik Dan Perkukuh Pasaran Kewangan Islam Reviewed by Unknown on October 23, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.