gambar hiasan |
Adakah jerebu merupakan tanda-tanda kemurkaan Allah terhadap sikap yang tidak bertanggungjawab segelintir manusia terhadap negara kita? Allah akan turunkan bala kepada mereka yang kufur nikmat. Itu antara janji Allah kepada manusia.
Apabila mereka melemparkan fitnah, tohmahan dan sebagainya tanpa sebarang keinsafan maka dengan sendirinya mereka ini menzalimi negara kita dan individu yang mereka fitnah tanpa henti tersebut.
Al-Quran telah menggambarkan asap pada surah yang diberi nama ‘ad-dukhan’ atau asap. Dijelaskan oleh Allah SWT mengenai azab kepada satu golongan kaum musyrikin yang menolak seruan Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut yang nyata, yang meliputi manusia. Inilah azab yang pedih.” (Surah ad-Dukhan, ayat 10)
Ulama mentafsirkan ayat itu sebagai bala dalam bentuk azab kelaparan kepada kaum Quraisy sehingga mereka menghadapi kemarau panjang dan kelaparan. Ketika itu setiap orang melihat seakan-akan di antara langit dan bumi ada kepulan asap menutup pandangan mereka.
Pada ayat seterusnya, surah itu menceritakan mereka berdoa dan bertemu Baginda SAW dengan janji keimanan. Namun segala janji untuk beriman dikhianati dengan tuduhan dan fitnah terhadap Baginda SAW.
Apa yang jelas, kita berhadapan dua azab iaitu pandangan terbatas dan pernafasan terganggu sehingga ramai kanak-kanak menderita kesakitan. Namun, tidak menafikan ancaman umum kepada seluruh orang kafir dan musyrikin dengan asap yang turun menjelang hari kiamat kelak.
Kita perlu sedar bahawa fenomena alam semesta serta perubahan yang berlaku pada setiap ruang sudut di maya ini adalah kehendak daripada-Nya juga. Aturan, sistem dan perjalanan dunia telah disusun atur oleh Allah SWT mengikut kehendak-Nya.
Segala kemusnahan dan bencana pada hari ini adalah gambaran yang dipertontonkan oleh Allah SWT sebelum datangnya kemusnahan besar yang akan menghancurkan seluruh bumi serta isinya pada hari kiamat nanti.
Dalil sahih mengenai tanda kiamat besar disebutkan dalam hadis Hudzaifah yang antaranya muncul ad-dukhan (asap). Sabda Baginda SAW: “Sesungguhnya kiamat tidak akan terjadi hingga ada sepuluh tanda (sebelumnya): gerhana di timur, gerhana di barat, gerhana di Jazirah Arab, asap, dajjal, binatang bumi, Yakjuj dan Makjuj, terbitnya matahari dari barat, dan api yang keluar dari Yaman mengiring manusia.” (Riwayat Muslim)
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami akan memberi ujian padamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kesempitan hidup serta hasil bumi yang berkurangan. Maka bergembiralah mereka yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)
Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya menjelaskan Allah SWT menguji hamba-Nya bagi mengetahui mereka yang dapat bertahan dan sabar.
Gambaran kiamat yang besar telah ditunjukkan di hadapan mata kita sendiri sebagai iktibar dan pengajaran. Muhasabah diri, semoga kita jumpa kekhilafan kita dalam melayari hidup sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini.
– PRU14.tv
Jerebu Kuning Antara Tanda-tanda Hari Kiamat
Reviewed by Unknown
on
October 22, 2015
Rating:
No comments: