Seo Services

Keluarga Cemas Dirompak Lelaki Bersenjata Tajam

gambar hiasan

KUCHING: Sebuah keluarga di Jalan Kong Ping, di sini berhadapan detik cemas apabila rumah mereka dirompak tiga lelaki bersenjatakan parang dan pisau pemotong daging semalam.

Menurut sumber, insiden mula disedari oleh pemilik rumah tersebut iaitu seorang wanita berusia 41 tahun selepas mendapati seekor anjing peliharaan mereka hilang sekitar jam 2.30 pagi.

Difahamkan, selang beberapa minit selepas itu, muncul tiga lelaki bertopeng dan seorang lagi suspek berada di dalam kenderaan yang diparkirkan di luar rumah berkenaan.

“Suspek terus menghampiri mangsa dan mengacukan parang panjang ke lehernya sebelum mengheretnya ke tingkat atas rumah tersebut untuk menunjukkan kepadanya tempat simpanan barang-barang berharga.

“Selain itu, suspek turut mengikat tangan ibu mangsa di bahagian hadapan menggunakan tali beg dan mengarahkan mereka tidak melawan sekiranya tidak mahu dicederakan,” kata sumber.

Suspek kemudian mengambil barang berharga milik keluarga mangsa seperti wang tunai, barang kemas dan jam tangan berjenama dianggarkan bernilai RM9,000.

Mangsa yang mengalami kecederaan di mulut dan badannya akibat ditumbuk suspek kemudian segera menghubungi pihak polis untuk bantuan selepas kesemua suspek beredar dari rumahnya.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Ng Ah Lek yang mengesahkan kejadian tersebut memberitahu bahawa pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian.

“Anggota daripada Unit Forensik dan K9 telah dikerahkan ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Kami juga mohon kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini agar dapat memaklumkan kepada kami dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sementara dalam kejadian berasingan, empat beranak diikat dan dirompak oleh dua penjenayah bersenjata dalam satu insiden di Jalan Kenny Hill, di sini awal pagi kelmarin (Rabu).

Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 2.30 pagi itu, suspek berjaya melarikan wang tunai serta barang berharga dianggarkan bernilai mencecah RM50,000 milik keluarga berkenaan.

“Difahamkan, seorang wanita berusia 50-an bersama tiga anaknya diikat dan ditempatkan di dalam sebuah bilik sementara suspek mula menggeledah rumah mereka.

“Bagaimanapun, kesemua mangsa tidak dicederakan dalam kejadian tersebut dan mereka hanya berjaya meloloskan diri dari ikatan kira-kira sejam selepas suspek beredar,”kata sumber.

Laporan polis berhubung kejadian telah dibuat dan siasatan lanjut masih dijalankan.-UB
Keluarga Cemas Dirompak Lelaki Bersenjata Tajam Keluarga Cemas Dirompak Lelaki Bersenjata Tajam Reviewed by Unknown on October 23, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.