Seo Services

Wanita Tertipu, RM2,500 Lesap


SIBU: Ayat ‘anda terpilih menjadi pemenang’ iaitu penipuan melalui panggilan telefon telah berjaya memperdayakan seorang suri rumah yang terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM2,500.

Mangsa berumur 22 tahun mengendong anak perempuan di balai polis di sini semalam diiringi suaminya membuat laporan polis semalam.

Menurutnya, babak penipuan itu bermula sejak 9 September lalu apabila seorang lelaki memperkenalkan dirinya sebagai seorang pegawai sebuah syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Katanya, dalam perbualan mereka, dia telah dimaklumkan bahawa dia telah dipilih sebagai pemenang sebuah peraduan dengan hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.

Untuk menuntut hadiah wang tunai tersebut, mangsa dikehendaki mendepositkan RM500 ke dalam akaun miliknya sendiri.

Disebabkan pemanggil berkenaan kerap membuat panggilan kepada mangsa untuk menasihatkan agar tidak melepaskan peluang untuk memenangi hadiah lumayan itu, akhirnya pengadu bersetuju untuk memasukkan RM200 ke dalam akaunnya.

Pada 24 September lalu seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘pegawai’ dari bank berkenaan meminta supaya dia memasukkan baki RM300, jika tidak kononnya nama mangsa akan disenarai hitam oleh Bank Negara kerana mengingkari arahan pihak bank.

Bimbang namanya akan tercemar, pengadu terus memasukkan RM300 pada hari yang sama.

Namun Rabu lalu, mangsa sekali lagi menerima panggilan daripada seorang lelaki dan memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Bank Negara.

Lelaki berkenaan memberitahunya bahawa hadiah wang tunai yang dimenanginya dahulu telah ditambah kepada RM8,000 dan dia dikehendaki mendeposit sebanyak RM3,000.

Pada jam 7 pagi semalam, mangsa telah mengikut arahan suspek dan memasukkan sebanyak RM2,000 lagi ke dalam akaunnya.

Apabila mangsa mula rasa tertekan dan curiga dengan apa yang telah berlaku, mangsa pergi ke bank tersebut sekitar jam 11 pagi.

Tembelang suspek akhirnya disedari mangsa setelah pihak bank memaklumkan bahawa wang lebih RM2,000 dalam akaunnya telah dipindahkan kepada akaun seseorang di bank yang berlainan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Martin Koo ketika dihubungi mengesahkan laporan mengenai kes telah diterima dan kes dalam siasatan pihak polis.-UB



Wanita Tertipu, RM2,500 Lesap Wanita Tertipu, RM2,500 Lesap Reviewed by Unknown on October 23, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.