KUCHING - Kementerian Kerja Raya (KKR) menghargai peranan media dalam menyalurkan maklumat berkaitan kementerian, dan bertindak seperti mata dan telinga khususnya melaporkan kejadian semasa.
Menteri Kerjaya Raya Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof berkata demikian ketika semasa Majlis Malam Media Bersama Kementerian Kerja Raya 2015 di Hotel Pullman malam tadi.
Penyaluran maklumat yang tepat dan cepat membolehkan masyarakat mengetahui perihal yang sebenarnya berlaku tanpa menunding jari kepada mana-mana pihak.
“Jalan raya yang dibina di Sarawak ini mempunyai kategori tertentu dan tidak semuanya di bawah selian KKR.
“Misalnya, KKR hanya berperanan dan bertanggungjawab terhadap jalan-jalan utama Persekutuan antara negeri atau bahagian dengan mengambil contoh pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.
“Begitu juga dengan status pembinaan jalan raya di mana KKR hanya bertanggungjawab ke atas jalan raya Persekutuan dan negeri. Manakala, jalan kampung yang dibuat selain KKR adalah dibawah seliaan dan tanggungjawab Pejabat Daerah”, katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan ketua-ketua bahagian di dalam KKR.
Dalam pada itu, Fadillah turut menekankan bahawa tiga badan profesional utama yang menjadi berperanan penting di KKR antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuh Raya Malaysia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
“JKR memainkan peranan penting dalam merekabentuk dan memantau kemudahan asas, manakala Lembaga Lebuh Raya Malaysia bertindak ke atas lebuh raya dan tol. Begitu juga dengan CIDB yang bertindak sebagai pengawal selia bagi syarikat-syarikat berdaftar dan melatih kontraktor yang terlibat dalam bidang pembinaan”, ujarnya lagi.
Fadillah turut meminta media berperanan dalam membantu KKR menyalurkan maklumat dan memberikan maklum balas akan kesedaran pentingnya penggunaan jalan raya secara berhemah.
“Atas sebab itu, KKR telah mewujudkan satu aplikasi atas talian yang dikenali ‘Aduan Jalan KKR’ di mana apa saja masalah berkaitan jalan raya boleh terus dilaporkan dengan cepat dan pantas.
“Dengan ini setiap masalah berkaitan jalan raya mahupun pembinaannya yang berlaku di kawasan akan dapat diselesaikan dengan seberapa segera”, tegas Fadillah.
Sebelum itu, Fadillah telah mengumumkan mulai tahun hadapan, KKR akan menyediakan anugerah kepada media khususnya di Sarawak dan Sabah menerusi pertandingan penulisan dan fotografi bagi kategori media cetak/elektronik, media atas talian dan fotografi.
KKR dan Persatuan Kewartawanan Sarawak akan bekerjasama dalam penganjuran dengan penghakiman bermula pada 1 Julai 2015 hingga 30 Jun 2016 dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM30,000 di mana tempat pertama akan menerima wang tunai sebanyak RM5,000, tempat kedua RM3,000 dan ketiga RM2,000. - klxpress
Media Penting Membantu Menyebarluas Maklumat KKR Kepada Masyarakat
Reviewed by Unknown
on
October 09, 2015
Rating:
No comments: