Seo Services

Tiga Maut Dalam Dua Kejadian Tembakan Di Pattani


PATTANI: Sepasang suami isteri warga emas yang dalam perjalanan ke pasar untuk berniaga adalah antara tiga orang yang terbunuh setelah ditembak dalam dua kejadian berasingan di Pattani awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Nongchik Kolonel Polis Wassan Puangnoi berkata kejadian pertama berlaku pada jam 6.45 pagi di Kampung Hutang Bongo, Mukim Pulut Puyo, Nongchik, Pattani.

Beliau berkata polis yang tiba di tempat kejadian menemui mayat suami isteri warga emas masing-masing berusia 69 dan 62 tahun di luar kereta dinaiki mereka.

Mangsa ditembak dengan kejam di kepala menggunakan rifel M16 serta AK47 dan lebih 50 kelongsong peluru ditemui di tempat kejadian, katanya.

Beliau berkata menurut keterangan yang diperoleh, mangsa ditembak ketika dalam perjalanan dari rumah ke pasar pagi di daerah Khokpo untuk berniaga.

Motif pembunuhan masih disiasat bagi menentukan sama ada ia berkaitan dengan gerakan pemisah atau kes merompak, kata beliau, dan menambah bahawa wang milik mangsa dicuri suspek.

Beliau berkata mangsa lelaki pernah cedera akibat ditembak pada 13 Okt 2010.

Sementara itu, dalam kejadian yang berlaku pada jam 9.30 pagi, seorang anggota renjer yang baru memeluk Islam terbunuh manakala isterinya cedera apabila mereka diserang dalam perjalanan ke Pekan Saiburi dari rumah mereka di Kampung Palupae, daerah Saiburi, Pattani.

Kejadian berlaku hanya 60 km jaraknya dari tempat kejadian pertama.

Kolonel Polis Panya Khavaranan, Ketua Polis Daerah Saiburi, berkata mangsa lelaki ialah renjer Abhisit Mukda, 41, yang berasal dari Narathiwat serta baru memeluk Islam dan isterinya, Sarina Jemera, 29.

Beliau berkata mangsa yang ditembak tiga das di kepala meninggal dunia di hospital manakala isterinya cedera dan keadaannya stabil.

Di Narathiwat, sebutir bom buatan sendiri meletup di Mukim Chuab, daerah Jok Irong, menyebabkan dua anggota tentera yang meronda dengan kenderaan Humvee mengalami cedera ringan.

-- BERNAMA
Tiga Maut Dalam Dua Kejadian Tembakan Di Pattani Tiga Maut Dalam Dua Kejadian Tembakan Di Pattani Reviewed by Unknown on October 09, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.