Pembinaan jambatan merentangi Sungai Sibuti bernilai RM26 juta yang dilancarkan di sini semalam bakal melonjakkan lagi aktiviti ekonomi Sibuti sekali gus membantu pembangunan penempatan yang terletak di pinggir bandar raya Miri.
Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus berkata jambatan itu amat dinanti warga Sibuti kerana menjadi nadi penghubung utama penduduk di seberang sungai pekan Bekenu dan bandar raya Miri.
Kos pembinaan RM26 juta itu merangkumi pembinaan jambatan sepanjang 70 meter dengan lebar 11.43 meter, jalan raya sepanjang 1.75km dan jalan penghubungnya bermula dari simpang masuk ke pekan Bekenu, sejauh 270 meter.
Pelancaran projek pembinaan jambatan itu dirasmi Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sambil disaksi lebih 5,000 rakyat sekitar Sibuti membabitkan kawasan DUN Bekenu dan Lambir serta penduduk sekitar bandar raya Miri.
“Projek jambatan ini apabila siap nanti akan melonjakkan lagi ekonomi di Sibuti khususnya kawasan Bekenu dengan penduduk seberang sana.
“Ia juga lebih mudah memasarkan produk pertanian bukan sahaja di Bekenu tetapi juga terus ke Miri,” katanya.
Jelasnya, kelulusan projek ini menambah satu lagi sejarah di pekan kecil Bekenu dan jambatan kedua merentangi Sungai Sibuti ini berperanan sebagai penghubung utama kampung seberang sungai selain membuka laluan pemasaran khasnya hasil pertanian bagi rakyat di sini.
“Selain itu, ia merancakkan lagi pembangunan di luar bandar yang kita tahu menjadi fokus utama Ketua Menteri kita,” katanya.
Dalam pada itu, Rosey juga ADUN Bekenu amat berterima kasih kepada kepimpinan Adenan yang baru-baru ini meluluskan Subis sebagai daerah dengan pegawai daerahnya yang pertama telah melapor diri pada 15 Oktober lalu.
“Dengan adanya pejabat daerah di sini, akan menjadikan pembangunan khususnya di kawasan Sibuti dan Niah lebih rancak dan pantas,” katanya.
Selain itu jelas Rosey, antara projek lain di kawasannya yang dilulus Adenan ialah pengambilan alih tanah bernilai RM2.4 juta bagi pembinaan stadium mini yang telah lama ditunggu rakyat.
Katanya, ia bagi memenuhi hasrat belia dan pelajar sekolah di sekitar kawasan tersebut.
Rosey turut mengajak rakyat di Sibuti supaya menolak fahaman pembangkang yang sentiasa menghasut rakyat untuk menentang kerajaan.
Malah katanya, di peringkat DUN juga pembangkang telah menunjukkan belang sebenar mereka apabila menentang usaha Adenan memohon RM500 juta bagi membangunkan kawasan luar bandar di negeri ini.
“Tindakan ini membuktikan betapa pembangkang menolak pembangunan di kawasan luar bandar.
“Jika kita biarkan diri terus dikuasai pembangkang dan hanyut bersama mereka, maka kita di kawasan luar bandar ini akan mundur sampai bila-bila,” katanya.
Namun Rosey yakin rakyat di kawasan Sibuti telah menyaksi banyak pembangunan dibawa masuk oleh kerajaan dan akan terus menyokong kepimpinan sedia ada.
Justeru, beliau yakin bahawa konstituensi Bekenu dan Lambir akan membawa kemenangan kepada Adenan dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri akan datang. - UB-
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong, Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, ADUN Lambir Ripin Lamat serta ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua masyarakat.
Pembinaan Jambatan Sibuti Rancakkan Ekonomi Sarawak
Reviewed by Unknown
on
October 22, 2015
Rating:
No comments: