SANTUBONG: Golongan belia di negeri ini khasnya harus sentiasa bersedia merebut peluang dalam pelbagai bidang yang ditawarkan agensi kerajaan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, dengan adanya peluang dan ruang yang terbuka luas yang menyasarkan penglibatan golongan itu, ia disifatkan mampu melahirkan generasi belia yang juga pelapis kepimpinan masa depan yang berdaya saing.
Katanya kerajaan juga giat memperkasakan golongan itu melalui penganjuran aktiviti dan program khusus yang memberi penekanan terhadap bidang teknikal dan kemahiran.
“Kita mahu belia di negeri ini sentiasa dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran yang boleh menjadikan mereka sebagai seorang insan berdaya saing dalam pelbagai bidang pada masa akan datang.
“Pada masa sama, saya juga mahu menyeru agensi, persatuan mahupun sesiapa sahaja agar menganjurkan program yang dapat memberi manfaat kepada golongan belia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Sembang-Sembang Belia di Santubong, malam kelmarin.
Mengulas mengenai program itu, Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, program seumpama itu amat disambut baik kerana boleh menjadi platform dua hala bagi mewujudkan interaksi antara wakil rakyat dan golongan sasaran.
“Program seperti ini membolehkan belia atau pemuda kampung melontarkan pandangan atau cadangan secara langsung kepada pihak wakil rakyat.
“Malah, ia juga dapat mengeratkan lagi silaturahim antara belia kampung dan wakil rakyat sekali gus melahirkan belia berwawasan pada masa depan,” jelasnya.
Beliau turut memberi cadangan agar program itu diadakan setiap tahun dan berterusan, khususnya di kawasan Pantai Damai.
Program Sembang-Sembang Belia itu dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Pantai Damai dengan kerjasama Pergerakan Pemuda PBB Ranting Santubong.
Pada majlis itu, Dr Abdul Rahman turut menyampaikan sumbangan peralatan sukan kepada Pergerakan Pemuda PBB Ranting Santubong dan Unit SABERKAS Santubong.-UB
Belia Harus Sedia Rebut Peluang Ditawar Agensi Kerajaan: - Abd Rahman
Reviewed by Unknown
on
November 09, 2015
Rating:
No comments: