Bank Simpanan Nasional (BSN) menerima 746 permohonan bagi Skim Perumahan Belia yang ditawarkan kepada pasangan belia berkahwin untuk memiliki rumah pertama, sejak ia dilancarkan pada Oktober lepas.
Timbalan Ketua Eksekutif Perbankan Runcit Datuk Yunos Abd Ghani berkata daripada jumlah itu, sebanyak 405 permohonan telah diluluskan membabitkan pembiayaan berjumlah RM101.5 juta.
Skim perumahan itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Bajet 2015 yang antara lain bertujuan membantu pasangan berkahwin berusia antara 25 dan 40 tahun dengan pendapatan isi rumah bulanan tidak melebihi RM10,000.
Yunos berkata skim itu tidak mempunyai tempoh masa tertentu, namun kerajaan menyasarkan sebanyak 20,000 permohonan diluluskan dan ia berasaskan konsep 'Siapa Cepat, Dia Dapat'.
"BSN menyasarkan sekurang-kurangnya 1,000 permohonan diterima sehingga hujung tahun ini. BSN amat mengalu-alukan belia mengambil peluang ini," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Skim Perumahan Belia peringkat negeri di cawangan utama BSN Sabah sini, Khamis.
Majlis dirasmikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang turut membuat lawatan rasmi di cawangan utama BSN Sabah sempena penjenamaan semula BSN pada 15 Okt lepas yang memperkenalkan identiti dan logo baharu melambangkan evolusi syarikat perbankan itu.
Mengenai permohonan skim berkenaan di Sabah, Yunos berkata BSN menerima 58 permohonan dan 30 daripadanya telah diluluskan membabitkan pembiayaan RM7.24 juta.
Sementara itu, Hajiji berkata skim perumahan itu adalah antara inisiatif kerajaan membantu golongan muda memiliki rumah.
Justeru, beliau menggalakkan golongan belia khususnya di Sabah agar merebut peluang itu sebagai usaha merealisasikan hasrat dan impian mereka memiliki rumah sendiri.
Skim Perumahan Belia merupakan inisiatif secara perkongsian pintar antara kerajaan bersama BSN, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perbadanan Gadai Janji Nasional (Cagamas Bhd).
-- BERNAMA
BSN Terima 746 Permohonan Skim Perumahan Belia
Reviewed by Unknown
on
November 05, 2015
Rating:
No comments: