Seo Services

"Kalau Kita Sendiri Tidak Mempromosikan Sarawak, Siapa lagi?"


KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem tidak mahu negeri ini terlalu bergantung kepada kerajaan pusat untuk menggalakkan industri pelancongan negeri ini.

Katanya Sarawak perlu melakukan usaha sendiri untuk membangunkan sektor pelancongan agar boleh bersaing menjadi sebuah destinasi pelancongan utama di Malaysia.

“Ya, kita boleh bergantung kepada mereka tetapi perkara ini perlu juga kita lakukan sendiri.

“Kalau kita sendiri tidak mempromosikan Sarawak, siapa lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Anugerah Pelancongan Hornbill Ke-6 Sarawak 2013/2014 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam kelmarin.

Menurut Adenan, Sarawak memiliki pakej pelancongan tersendiri yang menarik terutama alam semula jadi.

“Industri pelancongan kita adalah melalui pengembaraan alam sekitar dan oleh itu, hutan kita mesti dijaga dengan baik.

“Itulah salah satu sebab saya berhenti mengeluarkan lesen pembalakan demi memelihara hutan kita untuk generasi akan datang dan sebagai tarikan pelancong,” katanya.

Beliau menjelaskan, Sarawak boleh mewujudkan industri yang lebih besar daripada industri perkayuan jika ia memelihara flora dan fauna dengan baik.

“Ia adalah satu potensi yang belum dieksploitasi sepenuhnya… tidak banyak lagi hutan tropika dalam dunia ini iaitu hanya terdapat di Brazil, Kongo dan Asia Tenggara terutama Borneo.

“Oleh itu, kita mesti memelihara ini dan itulah sebabnya saya membuka hutan bagi penyelidikan dan pembangunan untuk peneroka di seluruh dunia,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata akan menambah bilangan taman negara dan rizab alam semula jadi untuk mencapai 10 peratus selain melaksanakan dasar membuka taman negara kepada orang ramai.

Jelas beliau, dasar menutup taman negara kepada orang ramai yang dilaksanakan sebelum ini perlu diubah agar alam semula jadi dapat dinikmati oleh semua orang.

“Anda membuat taman negara supaya dapat dinikmati manusia tetapi anda menghalangnya daripada dimasuki manusia… ini adalah dasar bodoh, jadi marilah kita mengubah dasar ini.

“Dengan membuka taman negara, ia menunjukkan yang kita tiada apa yang hendak disembunyikan dan ini juga dapat menyumbang kepada sektor pelancongan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Adenan berkata beliau akan turut melaksanakan dasar langit terbuka iaitu membuka ruang udara untuk lebih mudah dimasuki pelancong sepanjang masa.

“Dengan itu, kita boleh bersaing dengan Kuala Lumpur dalam bidang pelancongan,” katanya.-UB-
"Kalau Kita Sendiri Tidak Mempromosikan Sarawak, Siapa lagi?" "Kalau Kita Sendiri Tidak Mempromosikan Sarawak, Siapa lagi?" Reviewed by Unknown on November 17, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.