REMBAU: Kebolehpasaran graduan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) meningkat kepada 90 peratus dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian iaitu sembilan daripada 10 graduannya mendapat pekerjaan, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, pencapaian positif itu adalah hasil program transformasi IKBN di bawah bidang Latihan Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET) yang dijalankan sejak April tahun lalu.
"Pihak kami juga telah memeterai banyak perjanjian persefahaman dengan beberapa syarikat swasta seperti Petronas, UEM Group Bhd, Tan Chong Motor Holdings Bhd dan Gamuda Bhd. Mereka menjaminkan peluang pekerjaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perasmian naik taraf tujuh IKBN kepada Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), di sini hari ini. Tujuh IKBN itu ialah di Chembong di sini, Alor Gajah, Melaka, Pagoh, Johor, Dusun Tua, Selangor, Temerloh, Pahang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan Bachok, Kelantan.
Beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan menyasarkan untuk menjadikan IKBN dan IKTBN sebagai contoh utama kejayaan TVET.
"Kena anggap TVET ini adalah satu alternatif ... pilihan bagi orang muda yang mungkin tidak suka ataupun tidak cemerlang dalam bidang akademik. Mungkin mereka tidak berapa minat akademik tetapi mereka mungkin sangat cemerlang dalam latihan amali. Jadi sistem pendidikan kita dan persepsi masyarakat mestilah berubah," katanya.
Khairy berkata, buat masa ini terdapat 14,725 pelajar IKBN dan IKTBN di seluruh negara dan secara purata sebanyak 4,000 graduan setahun dihasilkan oleh IKBN dan IKTBN.
Setakat ini, terdapat lapan IKTBN dan 12 IKBN di seluruh negara.
IKTBN berperanan melatih pelajar dalam program latihan tahap tinggi iaitu Sijil Lanjutan, Diploma dan Diploma Lanjutan dan tenaga pengajar juga akan dilatih supaya menjadi tenaga pengajar pakar dalam bidang mereka.
IKTBN juga bertindak sebagai Pusat Sumber dari segi kurikulum, peralatan latihan, pengajaran dan pembelajaran serta mewujudkan bank soalan, selain menerbitkan penulisan dan bahan ilmiah atau jurnal latihan.
- BERNAMA
Kebolehpasaran Graduan IKBN Kini Meningkat 90 Peratus - Khairy
Reviewed by Unknown
on
November 05, 2015
Rating:
No comments: