Seo Services

Keganasan Rumah Tangga Di Sarawak Kurang


KUCHING: Sarawak mencatat kes keganasan rumah tangga yang jauh lebih rendah berbanding tiga negeri iaitu Selangor, Johor dan Kelantan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan kes keganasan rumah tangga bagi 2012 hingga Ogos tahun ini, terdapat 3,343 kes dan Sarawak mencatat hanya 166 kes.

“Sarawak mencatat 166 kes, jumlah ini jauh rendah berbanding Selangor (519 kes), Johor (429 kes) dan Kelantan (402 kes)” katanya sambil menambah daripada 3,343 kes, 2,528 membabitkan wanita yang kebanyakannya berusia 26 hingga 35 tahun.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program W.I Walk sempena Hari Kebangsaan Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2015 di Taman Pertemuan Le’Park di sini semalam.

Oleh itu katanya, semua pihak harus sama-sama menggembleng tenaga melindungi wanita daripada dianiaya, dikasari dan diganasi sama ada secara fizikal, mental, seksual, sosial mahupun ekonomi.

Ia penting agar wanita dapat memainkan peranan mereka membentuk masyarakat yang bebas daripada dibelenggu trauma keganasan.

Sementara itu katanya, daripada 2.6 juta populasi Sarawak, 1.25 juta adalah wanita yang dilihat sebagai pemangkin menjadikan negeri ini negeri maju menjelang 2030.

Lebih signifikan katanya, penyertaan tenaga buruh wanita di negara ini menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.

Menurutnya pada 2012 penyertaan tenaga buruh wanita di Malaysia ialah 49.5 peratus dan jumlah itu terus meningkat kepada 52.4 peratus pada 2013.

“Pada tahun ini peratus wanita dalam tenaga buruh negara ialah 54.1 peratus. Manakala peratusan wanita memegang jawatan tinggi di sektor awam ialah 33 peratus, melebihi sasaran 30 ditetapkan.

“Sementara penyertaan wanita dalam sektor swasta setakat ini ialah 15 peratus dan diharap dapat dipertingkatkan lebih-lebih lagi dengan penubuhan Kelab 30 Peratus Malaysia,” katanya.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata disebabkan itu Malaysia komited memastikan hak-hak wanita dijaga, dipelihara dan dilindungi terutama daripada keganasan.

Beliau berkata sebarang bentuk keganasan boleh menjejaskan keseluruhan prestasi dan tahap produktiviti wanita sekali gus memberi impak kepada sistem kekeluargaan, masyarakat dan negara.

Mengenai W.I Walk yang julung kali diadakan itu, Nancy berkata ia bakal mencatat sejarah tersendiri kerana objektif utamanya ialah meningkatkan kesedaran serta mendedahkan wanita seawall usia 15 tahun mengenai risiko penganiayaan termasuk jenayah.

“Hari ini (semalam) bakal menjadi detik bersejarah yang akan menjadi ‘permulaan’ kepada ‘jutaan langkah’ bangkitnya semangat wanita daripada pelbagai lapisan bangsa, masyarakat, agama dan kepercayaan, seawal usia 15 tahun dalam menangani keganasan terhadap wanita,” ujarnya.

Beliau turut berharap lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut serta dan bekerja sama menganjurkan inisiatif seperti itu bagi memastikan wanita dapat hidup dalam persekitaran selamat. -UB-
Keganasan Rumah Tangga Di Sarawak Kurang Keganasan Rumah Tangga Di Sarawak Kurang Reviewed by Unknown on November 30, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.