Seo Services

Kita Sudah Berusaha – Zahid


KUALA LUMPUR - Malaysia telah berusaha sedaya upaya membebaskan dua rakyatnya yang menjadi mangsa culik kumpulan militan Abu Sayyaf, namun terdapat permintaan luar jangka sehingga seorang daripada mereka terkorban iaitu Bernard Then Ted Fen.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hal itu berlaku berikutan kumpulan militan berkenaan meletakkan syarat tambahan yang sukar dipenuhi perunding.

Katanya, kumpulan itu sebelum ini dikatakan bersetuju membebaskan kedua-dua mangsa culik tersebut, tetapi mereka tidak mahu berkompromi dengan rundingan yang dijalankan.

“Kerajaan kesal dengan keadaan itu kerana perunding pada mulanya sudah bersetuju dengan syarat awal, tetapi kumpulan itu secara tiba-tiba menambah syarat bagi membolehkan rakyat yang ditawan, dilepaskan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama Me­ningkatkan Pencegahan dan Membanteras Jenayah Serius (PCSC) di antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) di sini hari ini.

Kelmarin, Komander Kumpulan Petugas Bersama Sulu, Brigedier Jeneral Alan Arrojado dilaporkan mengesahkan Bernard dibunuh dengan kepalanya dipenggal oleh kumpulan militan Abu Sayyaf di selatan Filipina.

Jurutera elektrik yang berusia 39 tahun itu dibunuh ketika tentera Filipina melakukan operasi ketenteraan terhadap kumpulan tersebut di Bukit Butaran berhampiran Perkampungan Bud Taran, Indanan, Kepulauan Jolo.
Bernard diculik bersama pemilik restoran Ocean King Seafood, Sandakan, Thein Nyuk Fun, 50 pada 14 Mei lalu kira-kira pukul 7.40 malam.

Nyuk Fun yang menghidap kencing manis bagaimanapun kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat pada 9 November lalu.

Ditanya mengenai serangan pengganas di Paris yang mengorbankan 153 nyawa minggu lalu, Ahmad Zahid berkata, kejadian itu dibimbangi memberi motivasi kepada golongan pelampau di negara ini untuk me­lakukan perkara yang sama.

Sehubungan itu katanya, kerajaan meningkatkan tahap kese­lamatan di negara ini melalui pemantauan di semua pintu masuk meliputi udara, laut dan darat.

“Serangan pengganas di Paris memberi kesan mendalam kepada rakyat di negara ini. Jadi, senarai syak yang diperoleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah diteliti. Turut terlibat dalam pemantauan adalah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Marin dan agensi-agensi penguat kuasa yang lain,” ujarnya.

Mengenai demonstrasi menentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang akan dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaan sempena lawatan Presiden AS, Barack Obama ke negara ini esok, Ahmad Zahid memberitahu, tindakan itu tidak wajar dilakukan kerana mencemar imej negara. UTUSAN
Kita Sudah Berusaha – Zahid Kita Sudah Berusaha – Zahid Reviewed by Unknown on November 20, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.