Kuching - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menyemai kesedaran keselamatan jalan raya dalam institusi kekeluargaan.
Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata ini adalah usaha untuk mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan di jalan raya.
Menurutnya kerjasama itu boleh dilaksanakan melalui program kekeluargaan kementerian di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan pada tahun hadapan.
"Kita boleh selitkan amalan 'Berhati-hati Di Jalan Raya' dalam kursus anjuran kementerian bagi mengingatkan masyarakat betapa pentingnya amalan ini ketika berada di jalan raya dan tidak beremosi ketika memandu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu menutup program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) Beladin di sini semalam
Menurut Rohani, kematian akibat kemalangan jalan raya memang mendatangkan impak dan trauma serta beban kepada keluarga yang terlibat.
Program anjuran JPJ Sarawak itu telah berjaya menarik 510 penyertaan yang terdiri daripada penduduk daerah Beladin dan sekitarnya, untuk mendapat lesen memandu kelas B2.
Turut hadir Pengarah Perlesenan Kenderaan JPJ, Datuk Che Ab Rahim Che Daud dan Pengarah JPJ Sarawak Ibrahim Othman.
Rohani berkata kemalangan maut juga telah mendatangkan kerugian kepada negara daripada segi kehilangan sumber manusia.
Angka kematian jalan raya di negara ini pada tahun ini sudah mencecah 6,674 orang daripada keseluruhan 476,196 kes kemalangan yang direkodkan.
"Ini merunsingkan kementerian kerana banyak keluarga kehilangan orang tersayang dan ada juga hilang ketua keluarga seperti ayah, emak dan anak yang menjadi tempat bergantung," katanya.
BERNAMA
KPWKM Sedia Kerjasama Dengan JPJ Semai Kesedaran Keselamatan Jalan Raya
Reviewed by Unknown
on
November 30, 2015
Rating:

No comments: