SANDAKAN: Buku "Lotong Merah Primat Ekselusif Borneo" karya Dr Maklarin Lakim telah dipilih menjadi pemenang Anugerah Buku Umum Terbaik 2015 Ketua Menteri Sabah.
Kemenangan Maklarin diumumkan pada Majlis Anugerah Buku Umum Terbaik yang dihadiri Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Mohd Arifin Mohd Arif di sini, Khamis malam.
Buku tulisan Maklarin yang juga Timbalan Pengarah Taman-Taman Sabah memaparkan perihal biologi spesies primat unik itu termasuk penyesuaian makanan, cara pergerakan dan kehidupan sosial haiwan berkenaan yang jarang diketahui umum dijelaskan dan ditambah dengan bantuan foto.
Selain daripada buku karya Maklarin dua lagi buku "Amfibia Sabah", karya Paul Yambun Imbun dan "Kerang Gergasi Borneo" karya Elvin Michael Bavoh, Nasrulhakim Maidin dan Abdul Jalil Mapati turut dinilai untuk anugerah itu.
Maklarin menerima hadiah berupa wang tunai RM5,000 dan juga sijil penghargaan.
Turut hadir Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Negeri Sabah Asniah Ajamain.
Arifin dalam ucapannya berkata bersesuaian dengan negeri Sabah yang kaya dengan keindahan flora dan fauna, pulau dan gunung-ganang, penulis perlu kreatif untuk menterjemahkan kekayaan dan keunikan sumber alam dan keunikan budaya serta sejarah itu ke dalam karya penulisan masing-masing.
Katanya usaha itu bukan sahaja menggalakkan budaya menulis, tetapi juga secara tidak langsung, mampu memberi pendedahan dan pilihan yang luas untuk masyarakat kita mendapatkan bahan bacaan bermutu.
"Sesungguhnya pendedahan kepada karya-karya yang bermutu seperti ini mewakili tradisi bangsa dan peradaban manusia amat penting disebabkan ia mewakili tradisi dan perkembangan pemikiran intelektualisme sesuatu bangsa," katanya.
Beliau berkata penulisan juga akan mengukuhkan lagi kesatuan, perpaduan, kesedaran, dan budaya perkongsian ilmu.- BERNAMA
Lotong Merah Primat Ekselusif Borneo Dipilih Buku Umum Terbaik Sabah
Reviewed by uMieySurianie
on
November 06, 2015
Rating:
No comments: