Seo Services

Pengeluaran Kayu Balak Sarawak Berkurangan Tahun Ini


KUCHING: Pengeluaran kayu balak Sarawak dijangka berkurangan tahun ini, berikutan dasar kerajaan negeri mengurangkan penebangan hutan, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datuk Len Talif Salleh.

Len yang juga Menteri Muda Alam Sekitar Sarawak, berkata pada tahun lepas Sarawak menghasilkan hampir sembilan juta meter padu kayu balak.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem merasmikan Bengkel Pelaksanaan Projek Koridor Antarabangsa 'Heart of Borneo (HoB)', di sini hari ini.

Dalam isu berkaitan, Len berkata Jabatan Perhutanan Sarawak sedang memantau dengan teliti 425 pemegang lesen pembalakan di negeri ini, termasuk enam syarikat besar.

"Walaupun mereka syarikat besar, lesen mereka juga boleh dibatalkan jika terlibat dalam kegiatan pembalakan haram atau tidak mematuhi syarat-syarat lesen," kata Len.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Sarawak Sapuan Ahmad berkata syarikat-syarikat itu sedang bekerjasama baik dengan jabatannya dan pasukan petugas untuk membendung pembalakan haram.

"Kami telah membuat ikrar dan kami sedang mengawasi dan memantau dengan rapi aktiviti mereka," kata Sapuan.

"Kami mahu komitmen mereka mematuhi, dan jika melanggar undang-undang dan melakukan pembalakan haram, kami tidak akan teragak-agak membatalkan lesen mereka. Kami sedang memantau mereka dan sedang kawal selia sub-kontraktor mereka," kata Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan Sumber Datuk Sudarson Osman.

Kepada satu soalan, Sapuan berkata keenam-enam syarikat besar tersebut menguasai kira-kira 65 peratus daripada konsesi balak di Sarawak.

Sementara itu, Adenan dalam teks ucapan dibacakan oleh Len ketika merasmikan bengkel itu, berkata sejak kebelakangan ini, beberapa isu menyentuh Sarawak dibangkitkan, antaranya oleh media, pertubuhan antarabangsa, badan bukan kerajaan dalam dan luar negara serta persatuan sivil yang mendakwa mengenai penebangan dan kemusnahan hutan secara besar-besaran.

"Ironinya NGO-NGO ini gagal melaporkan secara adil kepada dunia bahawa 84 peratus daripada kawasan tanah di Sarawak masih diliputi hutan berbanding hanya 20 peratus di Afrika, 33 peratus di Amerika Utara dan Amerika Tengah, 48 peratus di Amerika Selatan dan 44 peratus di Eropah," kata Adenan.

Katanya kerajaan negeri komited memperbaiki dan mempertingkatkan pengurusan dan pemuliharaan hutan di negeri ini, dan mengguna pakai dasar membangunkan tanah yang menyediakan garis panduan bagi membolehkan kerajaan mengkaji serta memutuskan antara kepentingan bersaing untuk sumber tanah yang terhad.

"Dasar ini menggariskan bagaimana mengoptimumkan penggunaan tanah bagi memastikan pengurusan sumber yang mampan untuk manfaat ekonomi negeri dan pada masa sama mengekalkan persekitaran yang sihat," katanya.

Berhubung dasar menggunakan tanah di Sarawak, beliau berkata 56 peratus daripada kawasan tanah di negeri ini dikekalkan sebagai hutan dan satu juta hektar sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA), iaitu tidak disentuh sepenuhnya untuk pemuliharaan biodiversiti dan melindungi ekosistem.

"Kami memperuntukkan enam juta hektar menjaga hasil daripada pengurusan sumber hutan dan dasar-dasar baharu untuk menambah baik dan mempertingkatkan pengurusan dan pemuliharaan hutan di Sarawak," katanya.

-- BERNAMA
Pengeluaran Kayu Balak Sarawak Berkurangan Tahun Ini Pengeluaran Kayu Balak Sarawak Berkurangan Tahun Ini Reviewed by Unknown on November 04, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.