Seo Services

Bayi Baharu Lahir Ditemui Di Miri Diletak Bawah Jagaan JKM


KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengambil bayi yang baharu lahir ditemui di Permyjaya, Miri selepas pihak hospital memberi kebenaran keluar dan mengesahkan bayi berkenaan sihat.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata ia sememangnya prosedur apabila bayi yang baharu lahir ditemui akan dibawa ke hospital terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada pihak JKM.

“Berkenaan kes buang bayi yang ditemui (di Miri) tadi (semalam), dia masih di hospital untuk pemeriksaan dan apabila dibenarkan keluar dan disahkan sihat oleh doktor maka Pegawai Perlindung JKM akan membawa bayi ke rumah kanak-kanak.

“Kami biasanya menggalakkan bayi sedemikian dijadikan anak angkat kepada mereka yang berminat, namun mengikut prosedurnya iaitu menjaga anak itu sebelum diangkat secara rasmi dua tahun kemudian,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Fatimah berkata demikian mengulas laporan seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan Permyjaya, Miri awal pagi semalam.

Beliau pada masa yang sama turut menasihatkan khasnya kepada ibu bapa atau individu yang hamil luar nikah agar tidak mengambil jalan pintas membuang bayi dilahirkan bagi menutup rasa malu.

Sebaliknya, kata beliau, mereka boleh berhubung terus dengan pihak JKM atau mendapatkan khidmat nasihat serta rujukan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana badan khidmat lain.

“Malahan kita di kementerian telah mewujudkan Pusat Sehenti Remaja Hamil (OSTPC) bagi mengurangkan kes buang bayi dan kita merayu agar mereka menghubungi pihak berkaitan bagi mengelak bayi dibuang.

“Buang bayi bukan sahaja satu jenayah tetapi ia memberi risiko kepada bayi itu nanti seandainya dia tidak dijumpai dalam jangka masa tertentu dan perkara seperti ini harus dielakkan,” tegasnya.

Fatimah berkata dari segi statistik buang bayi, Sarawak bukan antara negeri yang tertinggi di mana pada tahun 2014 sebanyak tiga kes dicatatkan berbanding tahun ini setakat semalam (3 November) terdapat lima kes dicatatkan.

Mengenai penubuhan Perlindungan Bayi (Baby Hatch) di Sarawak, beliau berkata ia masih dapat perbincangan sama ada perlunya tempat berkenaan di negeri ini atau sebaliknya.

Katanya ia kerana penubuhan Perlindungan Bayi mempunyai baik dan buruknya.

“Kita akan berusaha dan ia masih dalam perbincangan sama ada Sarawak ada keperluan atau tidak namun ia harus melihat apa yang dilaksanakan di Johor dan Melaka,” katanya.-UB




Bayi Baharu Lahir Ditemui Di Miri Diletak Bawah Jagaan JKM Bayi Baharu Lahir Ditemui Di Miri Diletak Bawah Jagaan JKM Reviewed by Unknown on November 04, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.