Udang Geragau atau bubok Kampung Tambirat memang banyak ketika tiba musimnya. Udang geragau Kampung Tambirat bersih dan bebas daripada rasa berpasir. Oleh itu ia sesuai diproses untuk dijadikan belacan.
Proses belacan Kampung Tambirat memang mengutamakan kebersihan dan kualiti. Udang geragau yang baru diperolehi akan dibersihkan terlebih dahulu. Proses seterusnya mencampur udang geragau dengan garam mengikut sukatan yang betul dan ia diletak di dalam guni serta dilapik benda berat di atas guni tersebut. Ia dilakukan sebegitu agar air akan mengalir keluar dan udang yang diperam akan kering. Ia akan diperam selama semalam.
Apabila cuaca panas, peraman udang geragau akan dijemur seupaya udang tersebut kering dan mudah untuk melakukan proses seterusnya. Cukup kering udang akan ditumbuk menggunakan lesung penumbok yang diperbuat daripada kayu. Proses ini untuk sebatikan menjadi doh belacan. Doh tersebut akan dijadikan cebisan kecih dan dijemur semula sehingga kering.
Sekali lagu doh akan ditumbok dan dicampur sedikit air gula apong (nipah) bagi memudahkan proses menumbok. Apabila sebati, doh yang sudah ditumbok akan dibentuk segi empat atau bulat dan dijemur sekali lagi di bawah sinaran matahari. Akhir sekali ia akan dibungkus mengikut sukatan berat dan akan dijual sebagai belacan Tambirat yang berkualiti.
Tidak dinafikan belacan Tambirat adalah belacan yang terbaik terdapat di Sarawak. Prosesnya yang rumit menyebabkan harga belacan Tambirat mahal dan ia berbaloi kerana kebersihan dan kualiti yang terdapat pada belacan Tambirat. Belacan Tambirat juga kurang berbau dan sedap untuk berbagai jenis masakan lauk pauk. Yang pasti belacan Tambirat tidak menggunakan bahan pengawet dan pewarna. - Sarawakiana
Rahsia Belacan Tambirat
Reviewed by Admin
on
November 22, 2015
Rating:
No comments: