BINTULU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membelanja RM1.5 bilion membina infrastruktur telekomunikasi di Sarawak dalam tempoh 2008 hingga 2015.
Pengarah SKMM Wilayah Sarawak Roslan Mohamad berkata, untuk Bintulu pihaknya telah mewujudkan enam pusat Internet dan mempunyai kontrak tiga tahun.
Katanya nilai peruntukan setiap pusat Internet adalah RM1 juta dan di Bintulu, pusat terbabit telah diwujudkan di Kampung Jepak, Kampung Penan Muslim Batu 10 dan Sungai Plan sekali gus berharap kemudahan itu akan dimanfaat serta diguna sebaik mungkin oleh penduduk.
“Internet alam maya untuk berjumpa rakan jauh, bukan sahaja untuk satu tempat tetapi dapat mengetahui cerita yang berlaku di tempat lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada pelancaran Jelajah Jejak Digital dan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di Kampung Jepak Hulu, Sabtu lalu.
Katanya Internet merupakan kemudahan pengikat silaturahim, membuka peluang perniagaan dan tempat berjual beli.
Begitupun katanya, seperti jalan raya sebagai penghubung kita dari satu tempat ke satu tempat juga boleh membunuh sekiranya tidak diguna sebaiknya dan begitu juga Internet, satu benda baik tetapi jika digunakan untuk tujuan salah maka ia akan menjadi salah.
“Dengan peruntukan RM1 juta untuk pengwujudan pusat Internet di Jepak maka gunakan pusat itu sebaik mungkin dan hantar anak-anak ke situ agar diberi pelajaran dan pengajaran yang baik.
“Pastikan mereka diajar untuk memanfaatkan komputer sebagai alat baharu berkomunikasi,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain katanya, peruntukan RM1.5 bilion dalam tujuh tahun manakala setahun memerlukan RM200 juta dan Sarawak mempunyai 12 bahagian yang meminta agar pusat Internet diwujud.
Namun katanya, bukan mudah untuk membahaginya kerana Sarawak sebesar Semenanjung Malaysia jika ditolak Perlis, maka kawasan yang dibuka pusat ini harus dijaga dengan baik.
Jelasnya, sejumlah 562 pusat Internet telah diwujud sejak pusat pertama dibuka pada 2007 di seluruh negara. Pusat Internat di Kampung Jepak Hulu merupakan yang ke-80 diwujudkan di Sarawak.
Pusat Internet itu berkeluasan 2,200 meter persegi di bawah pengurusan Aidil Azwan Jabli dan dibantu oleh Nor Azwani Azman memuatkan 10 unit komputer untuk kegunaan orang ramai dan 10 unit lagi untuk sesi latihan. - UB
RM1.5 Bilion Bangun Telekomunikasi Di Sarawak Dalam Tempoh 2008-2015
Reviewed by uMieySurianie
on
November 10, 2015
Rating:
No comments: