Seo Services

Rozana Tuntut Nafkah Anak RM5,300 sebulan


KUALA LUMPUR 19 - Isteri penyanyi rock Awie, Rozana Misbun menuntut suaminya membayar lebih RM5,000 sebulan sebagai nafkah dua anak mereka yang kini berada di bawah jagaan wanita itu.

Rozana, 37, dalam tuntutan nafkah kekal anaknya itu, menuntut RM5,300 sebulan merangkumi makanan dan minuman serta kelengkapan diri (RM3,000), kos tempat tinggal (RM1,500) dan kos pembantu rumah sebanyak RM800.

Wanita itu turut menuntut RM2,000 setiap tiga bulan untuk pembelian pakaian kedua-dua anaknya iaitu, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5.

Rozana turut menuntut Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, membayar kos persiapan persekolahan kedua-dua anaknya sebanyak RM1,500 dan persiapan pakaian untuk setiap perayaan sebanyak RM3,000.

Rozana memfailkan tuntutan nafkah anak-anak itu di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 5 November lalu mengikut Seksyen 73 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.

Rozana dan Awie mempunyai tiga anak hasil perkahwinan mereka termasuk Putra Ahmad Merrah, 8, namun anak sulung mereka itu kini dijaga oleh Awie.

Terdahulu, prosiding sulh (perbincangan) antara Rozana dan Awie hari ini berhubung tuntutan nafkah anak yang difailkan Rozana itu gagal setelah penyanyi itu tidak hadir pada prosiding berkenaan.

Menurut, peguam syarie, Mohd. Nor Afandi Dahari yang mewakili Rozana, pihaknya dimaklumkan Awie tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan kerja di Singapura.

Walau bagaimanapun, kata beliau, Pegawai Sulh Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Nor Nazila Dollah yang mendengar kes itu menetapkan 7 Januari tahun depan bagi membolehkan Awie memfailkan pembelaan terhadap tuntutan itu di Mahkamah Rendah Syariah.

Sementara itu, peguam syarie, Mohd. Syafiq Norizan yang mewakili vokalis kumpulan Wings tersebut berkata, anak guamnya telah memaklumkan mahkamah mengenai ketidakhadirannya pada prosiding hari ini melalui satu surat yang turut diserahkan kepada Rozana.

“Awie tidak dapat membatalkan tugasan di Singapura kerana ia telah ditetapkan sebelum tarikh proses sulh, justeru Awie tidak boleh menyelaraskan tarikh tersebut kerana kesuntukan masa,” katanya.

Menurut beliau, melalui surat itu juga, Awie memohon agar prosiding sulh itu ditangguhkan namun bersedia untuk meneruskan prosiding kes itu di mahkamah mengikut budi bicara pihak mahkamah.

Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini memerintahkan hak penjagaan sementara tiga anak pasangan itu diserahkan kepada Rozana sementara menunggu perintah kekal hak penjagaan dikeluarkan mahkamah.

Awie pula diberikan hak lawatan di kediaman anak-anak tersebut selama dua jam sebanyak dua kali sebulan iaitu pada hari Sabtu atau Ahad pada minggu pertama dan ketiga dengan memaklumkan terlebih dahulu kepada Rozana. -UTUSAN

Rozana Tuntut Nafkah Anak RM5,300 sebulan Rozana Tuntut Nafkah Anak RM5,300 sebulan Reviewed by Unknown on November 20, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.