KUCHING: Sebanyak 1,400 unit rumah mampu milik yang dijual pada harga tidak melebihi RM250,000 telah dibina di seluruh Sarawak menerusi dasar dan pendekatan baharu perumahan yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri.
Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, dasar baharu tersebut membolehkan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah sendiri yang dijual pada harga mampu milik.
“Inilah usaha kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan pusat dalam membantu golongan yang mempunyai pendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah mereka sendiri dengan harga yang berpatutan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia ( RMR1M) di Kampung Sungai Midin, Samariang di sini semalam.
“Kita akan terus membangunkan projek perumahan di Sarawak bagi memastikan golongan yang tidak memiliki rumah dapat memiliki rumah mereka sendiri,” tambahnya.
Selain itu, Projek Perumahan Rakyat ( PPR) juga akan dilaksanakan menerusi pendekatan baharu bagi membolehkan pemohon mendapat pinjaman daripada bank perumahan negeri, Mutiara Mortgage and Finance di bawah Perbadanan Pembangunan Perumahan (PPP).
Tambahnya lagi, Bank Tanah juga ditubuhkan bagi membolehkan kerajaan negeri membina rumah mampu milik dan rumah sederhana di bandar untuk rakyat berpendapatan sederhana.
Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, ADUN Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi, Ahli Lembaga Pengarah SPNB Datuk Seri Ahmad Kabit dan Pengerusi PPP Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen. - sarawakiana
Sebanyak 1,400 Rumah Pada Harga Mampu Milik Telah Dibina
Reviewed by Unknown
on
November 30, 2015
Rating:

No comments: