KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mulai tahun depan akan mengaplikasikan subsidi pengangkutan bagi penghantaran Gas Petroleum Cecair (LPG) ke bandar-bandar utama di negeri ini.
Pengarah KPDNKK Sarawak Datuk Stanley Tan berkata inisiatif tersebut adalah untuk menyeragamkan harga LPG atau lebih dikenali sebagai gas memasak dengan harga runcit sebenar iaitu RM26.60 setong.
“Kami akan membuat penyeragaman harga LPG di bandar-bandar utama seperti Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu dari segi kos pengangkutan agar ia dapat dibeli dengan harga RM26.60 setong.
“Perkara ini masih dalam kajian dan kami akan maklumkan selanjutnya mungkin pada tahun depan,” katanya kepada pemberita sempena Kempen Penurunan Harga Peringkat Negeri Sarawak 2015 di Survey Hypermarket di sini, semalam.
Menurut Stanley, kaedah subsidi pengangkutan untuk menyeragamkan harga LPG di negeri ini telah dilaksanakan sejak 2009 iaitu di kawasan luar bandar.
“Tahun ini, sebanyak RM108 juta telah diperuntukkan untuk menampung kos pengangkutan bagi penghantaran LPG ke luar bandar dengan melibatkan 2,800 kedai runcit.
“Misalnya di Bario, tanpa subsidi pengangkutan harga LPG adalah RM130 setong tetapi selepas disubsidi ia hanya RM26.60 setong,” katanya.
Dalam pada itu, Stanley berkata harga LPG di luar bandar akan kembali kepada asal jika kuota subsidi yang disediakan habis.
Jelas beliau, pihaknya tidak dapat mengawal harga LPG di luar bandar kerana ia melibatkan kos pengangkutan yang tinggi.
“Kalau kuota subsidi habis, harga LPG akan mengikut harga yang ditetapkan oleh peniaga kedai runcit disebabkan kos pengangkutan,” katanya.
Beliau juga berkata tiada penyelewengan subsidi LPG berlaku di negeri ini di mana ia dipantau ketat oleh pegawai KPDNKK, Jabatan Audit dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).-UB
Seragamkan Harga Gas Memasak RM26.60 Setong
Reviewed by Unknown
on
November 23, 2015
Rating:
No comments: