Seo Services

Valentina Tereshkova, Wanita Pertama Ke Angkasa


JIKA wanita boleh menjadi pekerja kereta api di Rusia, mengapa mereka tidak boleh terbang di angkasa? Jika anda pernah ke angkasa, anda akan menghargai betapa kecil dan rapuhnya bumi ini,” - Valentina Tereshkova.

Pada tahun 1963, Valentina Tereshkova menjadi wanita pertama di dunia yang menjejakkan kaki ke angkasa, selepas berlepas menggunakan kapal Vostok 6.

Beliau menghabiskan masa selama tiga hari di angkasa dan mengorbit bumi 48 kali. Kejayaannya juga menjadi bukti bahawa wanita mempunyai keupayaan yang sama seperti lelaki.

Selepas menawan angkasa, Tereshkova melawat dunia bagi mempromosikan sains Soviet dan turut aktif dalam dunia dalam politik.

Kehidupan awal

Valentina Vladimirovna Tereshkova dilahirkan pada 6 Mac 1937 di Maslennikovo di tengah Rusia.

Bapanya Vladimir Tereshkov adalah seorang pemandu lori dan pernah menyertai Tentera Rusia ketika Perang Dunia Kedua. Manakala, ibunya Elena Fyodorovna Tereshkova bekerja di sebuah kilang kapas Krasny Perekop.

Selepas bapanya terkorban dalam Perang Dunia Kedua, ibu Tereshkova membesarkan mereka tiga beradik, dan beliau hanya dapat memulakan persekolahan pada tahun 1945 ketika 8 tahun tetapi terpaksa berhenti sekolah lapan tahun kemudian.

Disebabkan minat mendalam terhadap payung terjun, Tereshkova menyertai Kelab Sukan Udara Yaroslavl dan membuat terjunan udara pertama pada 21 Mei 1959 ketika berusia 22 tahun.

Pada 1961, beliau menjadi setiausaha Komsomol tempatan (Liga Komunis Muda) sebelum menyertai Parti Komunis Kesatuan Soviet.

Sertai program angkasa

Selepas Yuri Gagarin menjadi manusia pertama ke angkasa pada tahun 1961, Tereshkova menawarkan diri untuk menyertai program angkasa.

Meskipun tidak mempunyai pengalaman sebagai juruterbang, namun beliau diterima kerana pencapaiannya yang telah membuat 126 terjunan payung terjun. Pada masa itu, ia penting kerana angkasawan terpaksa terjun dari kapsul sebelum mereka mencecah tanah setelah kembali ke bumi.

Bersama dengan empat wanita lain, Tereshkova menerima latihan selama 18 bulan termasuk ujian untuk menentukan bagaimana beliau akan bertindak balas terhadap jangka masa yang lama jika bersendirian, keadaan graviti melampau dan keadaan graviti sifar.

Daripada lima wanita itu, hanya Tereshkova berjaya dan dipilih untuk mengendalikan Vostok 6.

Angkasawan Valeriy Bykovsky melancarkan Vostok 5 pada 14 Jun 1963 sebelum Tereshkova dilancarkan dua hari kemudian. Kedua-dua kapal angkasa mengambil orbit berbeza dengan jarak antara 5 kilometer antar satu sama lain.

Misi hampir bertukar tragedi

Sebelum mendarat di bumi, satu kesilapan dalam perisian navigasi automatik kapal angkasa menyebabkan kapal itu bergerak jauh dari bumi.

Perkara itu disedari Tereshkova dan saintis Soviet dengan pantas menghasilkan algoritma pendaratan baharu. Beliau mendarat dengan selamat, tetapi mengalami sedikit kecederaan di bahagian muka.

Bagaimapun, beliau diberi penghormatan dengan gelaran Wira Kesatuan Soviet. Beliau juga menerima Order of Lenin dan Pingat Bintang Emas.

Beliau juga menjadi jurucakap Kesatuan Soviet, dan ketika memenuhi peranan tersebut, Tereshkova menerima Pingat Emas Damai Keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Selepas penerbangan

Selepas misi itu, Tereshkova kemudiannya belajar di Akademi Tentera Udara Zhukovsky dan memperoleh ijazah doktor falsafah dalam sains teknikal. Kerjayanya diteruskan sebagai jurutera aeroangkasa dalam program angkasa lepas.

Beliau juga bekerja dalam politik Soviet, dan menjadi timbalan kepada Soviet Agung antara 1966 dan 1989. Pelbagai lagi jawatan penting dipegang selepas itu.

Pada 2013, Tereshkova berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Rusia dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Parlimen bagi Hal Ehwal Antarabangsa.

Tereshkova turut menulis mengenai wanita dan sains dalam satu artikel bertajuk Wanita di Angkasa, pada tahun 1970 dalam jurnal Kesan Sains kepada Masyarakat. - SH
Valentina Tereshkova, Wanita Pertama Ke Angkasa Valentina Tereshkova, Wanita Pertama Ke Angkasa Reviewed by uMieySurianie on November 10, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.