KUCHING: Lima saspek yang terlibat dalam kes pukul di pusat membeli belah terkemuka yang menjadi viral sejak beberapa hari lalu telah diberkas polis malam kelmarin di dua lokasi berasingan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Seri Muhammad Sabtu Osman berkata kesemua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh di tempat awam tanpa senjata.
"Tiga suspek membabitkan seorang lelaki berusia 46 tahun, seorang wanita, 50 tahun dan seorang remaja perempuan berumur 18 tahun ditahan di Sibu pada kira-kira jam 8 malam, manakala dua lagi suspek lelaki berusia 43 dan 46 tahun ditahan di Kuching pada jam 11 malam yang sama dan tangkapan itu dibuat sebaik sahaja polis mendapat maklumat.
Sabtu berkata dalam kejadian Ahad lalu seorang jurujual lelaki di pusat membeli belah terkemuka telah dipukul dan dibelasah sekumpulan lelaki kira-kira jam 12 tengahari.
“Mangsa yang berumur 19 tahun berasal dari Sibu dan bekerja di sebuah kedai disalah sebuah premis tingkat bawah pusat beli belah berkenaan ketika didatangi sekumpulan enam orang yang terdiri dari empat lelaki dan dua orang perempuan.
Tiga daripada suspek telah memukul mangsa dan rakan sekerja dengan kaki dan tangan menyebabkan mereka mengalami lebam di muka dan tangan. Mangsa kemudiannya dihantar ke Balai Polis Jalan Simpang Tiga menggunakan kenderaan polis untuk membuat laporan,” tambahnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci ke atas latar belakang kesemua suspek untuk memastikan sama ada mereka mempunyai rekod jenayah lampau atau tidak.
“Saya juga telah mengarahkan anggota saya untuk berjumpa dengan pihak pengurusan pusat beli-belah berkenaan untuk mengetahui punca kenapa anggota keselamatan mereka lambat bertindak meleraikan insiden tersebut.
“Selain itu, saya mohon kepada orang ramai agar jangan mengambil tindakan sendiri kerana kita masih ada undang-undang yang perlu dipatuhi dan dihormati,” katanya ketika memberitahu pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri di Ibu pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini semalam.
Hasil siasatan awal mendapati punca kejadian adalah kerana bapa kepada rakan perempuan mangsa mendakwa mangsa telah menolak anak perempuannya itu pada 27 November.
Justeru itu, suspek bersama isteri dan anak perempuannya cuba menasihati kedua-dua mangsa agar tidak mengusik anak perempuannya lagi, namun tidak diendahkan sehingga mencetuskan pergaduhan.-Sarawakiana
Lima Saspek Kes Pukul Di Pusat Membeli Belah Ditahan
Reviewed by Unknown
on
December 02, 2015
Rating:

No comments: