Seo Services

Polis Kecewa Diselar Kurang Usaha Tangani Jenayah- Dev


KUCHING: Polis kecewa dengan kenyataan dilempar pihak tertentu berhubung insiden serangan di sebuah pusat beli-belah di sini selain isu gejala lori hantu di sepanjang Jalan Bakun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri SAC Dev Kumar berkata walaupun polis Sarawak mencapai banyak kejayaan menangkap penjenayah dan membawa ke muka pengadilan, namun polis masih dikritik kononnya tidak berusaha secukupnya.

“Ketika polis berjaya menangkap dua suspek melakukan rompakan ke atas kedai emas di Lebuh Carpenter, Kuching, September lalu dan salah seorang dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun dengan enam sebatan, kami tidak menerima sebarang mesej tahniah daripada mereka,” kata Dev.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan berhubung satu laporan diterbitkan di dalam sebuah akhbar tempatan semalam.

Katanya, orang sama tidak menyuarakan penghargaan apabila polis menangkap dua suspek merompak dan merogol seorang pekerja pusat jagaan harian November lepas seterusnya masing-masing disabit hukuman penjara selama 38 dan 30 tahun serta 21 dan 13 sebatan pada minggu lepas.

“Namun apabila video kes serangan di pusat beli-belah tersebar meluas dalam media sosial, keadaan menjadi lain kerana polis dituding tidak berusaha menanganinya.

“Polis sewenang-wenangnya dipersalah kerana kononnya tidak berusaha secukupnya untuk menegakkan undang-undang.

“Kritikan ini dibuat walaupun hakikatnya kami menangkap semua mereka terlibat dalam tempoh 24 jam,” ujarnya lagi.

Dev menegaskan Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Sri Muhammad Sabtu Osman adalah benar apabila beliau berkata serangan di pusat beli-belah berkenaan kes terpencil kerana beliau tiada sebab munasabah untuk membuat kenyataan sebaliknya.

“Serangan itu tiada kaitan dengan gengsterisme kerana ia adalah kes seorang bapa berang dengan dua pemuda yang membuli anak perempuan tirinya.

“Apabila si bapa bercakap kepada salah seorang pemuda terbabit menerusi telefon, pemuda itu mencabar si bapa untuk datang ke Kuching dan berdepan dengan mereka, jika tidak, perkara lebih mudarat akan berlaku kepada anaknya,” katanya.

Sebagai seorang bapa mahu melindungi anaknya, Dev berkata lelaki tersebut hilang sabar dan terus ke Kuching dan kemudian menghubungi dua rakannya dan mengambil tindakan sendiri.

“Polis bukannya mewajarkan tindakannya tetapi sekadar menekankan hakikat bahawa serangan berlaku disebabkan seorang bapa yang marah dan sama sekali tiada kaitan dengan gengsterisme,” tegasnya.

Mengenai satu lagi perkara dalam laporan berkenaan, Dev berkata polis sekali lagi dipersalahkan kerana tidak berusaha secukupnya untuk menghalang kerosakan yang dilakukan oleh lori hantu kepada penghadang jalan yang didirikan di sepanjang Jalan Bakun.

Beliau berkata polis hairan bagaimana orang boleh mengeluarkan kenyataan bahawa tidak ada orang yang telah ditangkap kerana memusnahkan penghadang tersebut.

“Seorang pemandu lori berusia 42 tahun dari Baram telah ditangkap oleh polis Belaga pada 17 Julai tahun ini kerana merosakkan salah satu penghadang di sepanjang Jalan Bakun.

“Penangkapannya menjadi berita hadapan dalam akhbar harian tempatan dan suspek didakwa di mahkamah dengan tarikh perbicaraan ditetapkan pada 18 Januari 2016,” kata Dev yang menambah tiada lagi laporan polis diterima mengenai kerosakan kepada penghadang jalan oleh lori hantu sejak penangkapan tersebut.

Sambil memberi jaminan kepada orang ramai bahawa polis negeri mengawal keadaan, Dev berkata mereka tidak perlu rasa cemas atau putus asa dengan badan penguatkuasaan undang-undang.

“Penjenayah dan samseng tidak menguasai jalanan seperti yang didakwa oleh segelintir pihak dalam laporan berkenaan.

“Keselamatan rakyat dan keamanan di negeri ini merupakan keutamaan dan kepentingan tertinggi bagi pasukan polis.

“Walaupun segelintir pihak menggambarkan senario yang negatif, Sarawak masih salah sebuah negeri paling selamat di Malaysia dan, sebagai ketua JSJ di negeri ini, saya sudah berikrar untuk berusaha sedaya upaya untuk membawa penjenayah ke muka pengadilan kerana tidak ada orang yang lebih tinggi daripada undang-undang,” kata Dev.-BP
Polis Kecewa Diselar Kurang Usaha Tangani Jenayah- Dev Polis Kecewa Diselar Kurang Usaha Tangani Jenayah- Dev Reviewed by Unknown on December 03, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.