KOTA KINABALU: Jawatankuasa Kabinet Berkaitan Transformasi Parlimen bersetuju mewujudkan Dewan kedua yang akan bersidang serentak dengan persidangan Parlimen bagi membincangkan usul yang ditolak Speaker.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berkata Parlimen akan menyediakan bilik khas untuk persidangan Dewan berkenaan yang dipengerusikannya atau timbalannya dan disertai Ahli Parlimen yang berminat. Beliau berkata, cadangan itu dikemukakan bagi mengelak persepsi tidak baik terhadap Speaker dan timbalannya apabila usul berkaitan isu yang dianggap ada kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan ditolak.
Katanya, pendekatan dua Dewan bersidang dalam satu masa sudah diamalkan di Australia dan House of Commons di England.
"Apabila mereka (Ahli Parlimen) tahu usul mereka tidak diterima, tidak memenuhi Perkara 18 (1) Peraturan Mesyuarat, mereka teruskan juga dan apabila saya tolak, mereka buat sidang akhbar di luar dan kata Speaker jahat.
"Bagi mengatasi situasi itu, kita wujudkan satu Dewan baharu," katanya ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Speaker dan Pegawai Dewan Komanwel Ke 23 (CSPOC 2016) yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN), Datuk Syed Abas Syed Ali.
Pandikar Amin berkata, persidangan di Dewan kedua itu tidak membabitkan pengundian.
Beliau berkata, penubuhan Dewan berkenaan adalah antara tiga cadangan diterima Jawatankuasa Kabinet Berkaitan Transformasi Parlimen yang bermesyuarat pada 7 Januari lalu.
Cadangan lain yang diterima ialah pengurangan tempoh penghantaran soalan untuk jawapan lisan kepada 10 hari berbanding 14 hari ketika ini, selain tempoh tujuh hari ketika persidangan yang panjang seperti pembentangan Bajet pada hujung tahun.
Katanya, turut diterima ialah cadangan mewujudkan Tempoh Sesi Soal Jawab Menteri dengan menetapkan tempoh seminit untuk mengemukakan soalan dan tiga minit untuk menteri menjawab soalan.
"Jika tidak dapat dijawab, kedua-dua pihak mesti duduk. Ini bagi mengelak Ahli Parlimen kata tidak cukup masa atau tidak diberi peluang untuk meneliti jawapan kerajaan," katanya. - BH
Dewan Kedua Bincang Usul Ditolak Speaker
Reviewed by uMieySurianie
on
January 11, 2016
Rating:
No comments: