KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengesahkan Vivacity Megamall sebagai selamat selepas menjalankan siasatan terperinci berikutan aduan orang ramai mengenai keretakan pada struktur bangunan pusat beli-belah berkenaan.
Menurut Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk James Chan, JKR telah mengemukakan laporan komprehensif terutama mengenai keretakan yang terdapat pada tiang konkrit di tempat letak kereta tingkat atas gedung beli-belah terbaharu itu.
Berdasarkan laporan yang dikemukakan kepada MBKS semalam, jabatan itu membuat kesimpulan bahawa keretakan adalah disebabkan oleh ‘movement joint’ dan tidak ada kecacatan struktur seperti yang dibimbangkan sebelum ini.
MBKS dan JKR mengambil tindakan segera untuk menyiasat keretakan tersebut berikutan arahan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Ghani selepas gambar keretakan itu tersebar di laman media sosial Facebook dan WhatsApp.
Difahamkan, Morshidi bertindak atas arahan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.
“Sebaik sahaja gambar itu tersebar di media sosial, JKR segera menghantar pasukan khas penyiasatan untuk menjalankan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan kemudian mendapati Vivacity adalah selamat untuk dikunjungi dan kes ini sudah selesai sekarang,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MBKS di sini, semalam.
Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Dato Sri Wong Soon Koh.
Sementara itu, Wong menyifatkan keretakan itu sebagai kejadian biasa dalam bangunan terutama rumah.
Justeru, beliau berkata perkara itu tidak sepatutnya menimbulkan spekulasi memandangkan JKR sebagai pihak berkuasa yang mengawal selia telah mengesahkan bangunan itu sebagai selamat.
“Sekarang, bangunan ini telah disahkan baik dan selamat. Maka itu, orang ramai tidak perlu risau dan bebas untuk mengunjungi pusat beli-belah ini,” katanya. -UB-
JKR Sahkan Vivacity Selamat
Reviewed by Unknown
on
January 27, 2016
Rating:
No comments: