Nur Dina Afrina (kanan) bersama rakannya Nurul Syalinda di Matahari Kids Club |
KUALA LUMPUR: Sesi persekolahan tahun 2016 baru memasuki minggu ketiga. Namun, peratusan kehadiran pelajar di sekolah kawasan bandar di laporkan lebih rendah berbanding sekolah di luar bandar.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata bahawa kos sara hidup yang tinggi, khususnya di bandar, pada masa ini adalah antara punca pelajar daripada keluarga miskin bandar ponteng sekolah kerana terpaksa bekerja membantu menyara keluarga.
Beliau berkata peratusan kehadiran di sekolah rendah dan menengah di Kuala Lumpur hanya sekitar 87 hingga 88 peratus berbanding 98 hingga 99 peratus di kawasan luar bandar, melibatkan pelajar golongan miskin bandar.
Persoalannya, wajarkah ibu bapa membiarkan anak-anak ponteng sekolah hanya kerana menghendaki mereka membantu mencari rezeki?
PENDIDIKAN PENTING
Tinjauan rambang Bernama mendapati kebanyakan ibu bapa mengakui sanggup bersusah payah bekerja daripada memaksa anak-anak ponteng sekolah untuk menolong mencari rezeki.
Bagi mereka, tidak berbaloi berbuat demikian sedangkan pendapatan yang diperoleh hanya akan bertambah sedikit berbanding keciciran anak-anak dalam pelajaran akibat ponteng.
"Bagaimana susah pun, ibu bapa yang pentingkan masa depan anak-anak tidak akan membiarkan apatah lagi menyuruh anak ponteng sekolah," kata Abdul Halim Ahmad Mokhtar, 50.
Bapa kepada lima anak itu berkata ponteng bukan sahaja menyalahi peraturan sekolah malah boleh jadi tabiat yang membawa kesan negatif terhadap anak, keluarga serta sekolah malah masa depan pelajar terlibat.
TIADA KAITAN KAYA MISKIN
Abdul Halim yang menyara keluarganya dengan melakukan kerja-kerja pendawaian dan pertukangan percaya bahawa masalah ponteng sekolah tiada kaitan dengan kaya atau miskin.
"Setahu saya, mereka yang ponteng adalah pelajar-pelajar yang terpengaruh kerana pergaulan, sukar dikawal atau bermasalah dengan ibu bapa, namun ada juga ibu bapa yang tidak ambil berat pendidikan anak-anak.
"Walaupun pendapatan saya tidak menentu dan kos sara hidup semakin meningkat, saya akan berusaha pastikan anak-anak mendapat pendidikan sebaik mungkin," katanya.
Mengakui agak sukar untuk menampung kesemua keperluan, Abdul Halim menjelaskan sebagai ketua keluarga beliau mesti tahu keutamaan keluarga, misalnya anak yang akan menduduki peperiksaan mungkin perlu mengambil tuisyen.
"Saya nak mereka berjaya... bukan belajar setakat Tingkatan 3 seperti saya," jelas Abdul Halim yang menjadikan minatnya dalam bidang mekanikal dan teknikal punca mencari rezeki.
Anak keempatnya, Noor Mazlisya, 15, yang kini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Dato' Harun, Petaling Jaya, memberitahu ayahnya sering menekankan bahawa pelajaran sangat penting untuk masa depan.
"Walaupun hanya sebagai suri rumah, emak akan selalu suruh belajar bersungguh-sungguh. Saya nak berjaya dan buat mak dan ayah bangga," kata Noor Mazlisya ketika ditemui di Matahari Kids Club (MKC), di Pasaraya Borong Matahari, Taman Dato' Harun, Petaling Jaya.
MKC ditubuhkan oleh pasar raya berkenaan dengan kerjasama Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid) pada Februari 2015 dengan tujuan membimbing pelajar sekolah rendah dan menengah dalam bidang akademik selain mengelakkan mereka daripada berpeleseran, melepak dan terjebak dengan kegiatan tidak berfaedah.
Lima puluh kanak-kanak dari Taman Dato' Harun, Taman Medan dan Puchong berdaftar dengan MKC yang menjadi pusat pembelajaran tambahan di luar waktu sekolah serta hujung minggu.
ELAK CICIR PELAJARAN
Guru MKC, Noor Farlina Mizan, 26, berkata kanak-kanak yang tidak berdaftar juga boleh meluangkan masa di MKC, cuma mereka tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti tambahan khusus untuk MKC.
"Kami membantu mengajar dan menyiapkan kerja-kerja sekolah sebagai usaha mengelak mereka tercicir dalam pelajaran," jelasnya. Menurutnya ibu bapa pelajar yang dikenalinya sangat mengambil berat tentang pendidikan anak-anak masing masing.
Graduan lulusan Universiti Malaya itu berkata ada di antara ibu bapa bekerja sendiri, penjaja, pemandu teksi atau bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan tidak lebih RM1,500.
"Walaupun tidak mampu menghantar anak-anak ke tuisyen, mereka meminjam buku MKC untuk membuat salinan foto malah menelefon saya bertanyakan perkembangan pendidikan anak masing-masing," katanya yang menjadi guru dengan Muslim Aid sejak tiga tahun lalu.
Pelbagai kemudahan disediakan di MKC seperti buku-buku rujukan, komputer dan alat tulis bagi memastikan mereka menikmati suasana pembelajaran yang selesa dan menyeluruh.
Selain mengajar subjek-subjek mengikut jadual tertentu pada musim persekolahan, kelas kraftangan, menjahit serta memasak dianjurkan pada musim cuti sekolah.
TIDAK SALAH BANTU KELUARGA
Seorang lagi pelajar di MKC ialah Nur Dina Afrina Noor Fahmy, 12, pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan, Petaling Jaya yang bercita-cita menjadi doktor haiwan.
"Saya selalu tolong mak di rumah dan kadang-kadang di tempat kerja tapi hanya waktu cuti sekolah atau lepas waktu sekolah," kata anak keempat daripada lima beradik.
Ibunya Rosnani Ibrahim, 40, yang bekerja dalam bidang katering memberitahu beliau melatih anak-anaknya membantu dalam tugas-tugas harian namun sentiasa memastikan ia tidak mengganggu waktu sekolah dan waktu belajar.
Beliau mengakui tidak mampu menghantar anaknya memperoleh tuisyen lalu mendaftarkan Nur Dina di MKC. Katanya: "Ada guru bantu anak buat kerja sekolah, mengajar dan beri bimbingan. Walaupun pelajaran Dina kurang menyerlah, saya tetap berusaha memberikan sebaik mungkin seperti anak-anak lain."
"Suami saya sakit dan tidak bekerja sejak setahun lalu. Pendapatan saya RM70 sehari. Kadang-kadang hanya beberapa hari sahaja kerja dalam sebulan, kecuali musim cuti sekolah atau perayaan sebab banyak majlis," katanya, bersyukur kerana mendapat bantuan Lembaga Zakat Selangor.
Mengulas kenyataan pelajar ponteng kerana membantu mencari rezeki, pakar motivasi Prof Dr Muhaya Mohamad berkata memang wajar anak-anak membantu ibu bapa mencari rezeki tetapi pendidikan tidak boleh diabaikan.
"Keutamaan bagi golongan muda adalah ilmu. Kita tengok anak-anak bangsa lain membantu ibu bapa berniaga ketika cuti. Semasa membantu mereka dapat ilmu perniagaan dan cara melayani pelanggan.
"Kalau mereka tolong sekarang, ia hanya bermanfaat untuk jangka pendek, untuk dapat beberapa Ringgit dalam sehari, sedangkan masa depan anak-anak itu boleh gelap kerana ponteng sekolah," katanya.
Dr Muhaya menegaskan pihak sekolah dan guru-guru hendaklah memberi penekanan mengenai pentingnya ilmu kepada para pelajarnya.
Selain itu, pihak kerajaan dan berkuasa hendaklah menjadi badan autoriti yang prihatin, bukan sahaja mengetahui pencapaian pelajar, malah mampu mengesan dan mengenal pasti keperluan mereka sekali gus mengambil langkah proaktif mendapatkan bantuan daripada pihak-pihak tertentu.
-- BERNAMA
Kemiskinan Alasan Ponteng Sekolah?
Reviewed by Unknown
on
January 21, 2016
Rating:
No comments: