Bario : Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengendalikan lebih 150,000 penumpang di 12 padang terbang (STOL Port) di seluruh Sarawak setiap tahun.
Pengarah Urusannya Datuk Badlisham Ghazali berkata Sarawak memiliki padang terbang yang paling banyak kerana bentuk muka bumi yang bergunung-ganang.
Beliau berkata kewujudan padang terbang tersebut banyak membantu penduduk di kawasan terbabit dalam menjalankan urusan harian mereka.
"Bagi kami di Malaysia Airports, STOL Port ini diuruskan atas dasar tanggungjawab sosial korporat yang berperanan menjadi akses kepada bekalan makanan, ubat-ubatan dan pendidikan," katanya dalam ucapan beliau sempena lawatan rasmi ke Padang Terbang Bario, hari ini.
Pada majlis yang sama Badlisham mewakili MAHB menyumbang 10 buah basikal bernilai RM5,000 yang akan diuruskan oleh eBario Sdn Bhd bagi tujuan aktiviti pelancongan di kawasan komuniti Kelabit itu.
Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan cek bernilai RM5,000 bagi tujuan membina pondok basikal untuk menempatkan 10 basikal tersebut.
Mengulas lanjut, beliau berkata, komitmen MAHB dalam menguruskan padang terbang telah membuahkan hasil.
"Sukacita ingin saya menyatakan di sini bahawa komitmen Malaysia Airports di Bario telah membuahkan hasil di mana kami telah berjaya mencatat Pulangan Pelaburan Sosial (SROI) sebanyak RM16.00 berbanding setiap RM1.00 yang digunakan untuk menguruskan STOL Port Bario ini," katanya.
Badlisham berkata peningkatan SROI itu juga bermakna MAHB berjaya membantu masyarakat setempat dalam menjalani kehidupan seharian dengan mudah dan selesa.
Padang terbang merupakan Lapangan Terbang Perlepasan dan Pendaratan Pendek yang dikendali dan diuruskan oleh MAHB yang kebanyakannya terletak di kawasan terpencil di Sarawak dan Sabah dan di tiga pulau di Semenanjung.
Pada masa ini terdapat 18 padang terbang daripada 39 lapangan terbang di bawah kendalian dan pengurusan MAHB.
-- BERNAMA
MAHB Kendali Lebih 150,000 Penumpang Di 12 Padang Terbang Seluruh Sarawak
Reviewed by Unknown
on
January 19, 2016
Rating:

No comments: