SHAH ALAM - Hasil penyelidikan yang dilakukan Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selama 12 hari di stesen tersebut telah berjaya membawa banyak kejayaan terutamanya dalam bidang perubatan.
Sheikh Muszaphar berkata, antaranya ialah berkenaan dengan penyelidikan berkaitan sel yang mana telah memberi manfaat dalam bidang perubatan.
"Ramai yang hendak tahu mengenai hasil dapatan kajian saya di ISS. Kami dapati sel 20 kali ganda lebih besar di angkasa lepas jika berbanding dengan bumi.
“Ini telah dapat membantu saintis untuk mengetahui lebih mendalam mengenai struktur-struktur sel, dan kami mendapati sel bercambah dengan begitu pantas di angkasa lepas,” katanya ketika berkongsi pengalaman beliau di Kumpulan Media Karangkraf, semalam.
Beliau berkata demikian ketika hadir dalam program khas untuk memperkenalkan baju angkasawan di Auditorium Karangkraf.
Turut hadir dalam program ini adalah Angkasawan Rusia, Salizhan Sharipoz.
Beliau berkata, seseorang yang berada di angkasa lepas akan lebih cepat tua berbanding jika berada di bumi.
"Maknanya anda lebih cepat tua di angkasa lepas, kita juga berjaya menyelidik mengenai sel barah dan mendapat hasil yang begitu baik.
“Kita sudah siarkan di index jurnal perubatan dan selebihnya sudah hantar di Jepun.
"Setiap hasil kajian akan diteruskan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) bagi mencari lagi manfaat hasil dapatan saya di ISS," katanya.
Semasa berada 12 hari di ISS mulai 10 Julai 2007, Sheikh Muszaphar menjalankan eksperimen sel barah iaitu leukemia dan hati serta kajian berkaitan gasing, yoyo dan air di angkasa lepas. - SH
Manusia Lebih Cepat Tua Bila Berada Di Angkasa Lepas
Reviewed by uMieySurianie
on
January 20, 2016
Rating:

No comments: