BANGKOK: Polis Thailand mengesahkan siasatan ke atas pemandu bas yang menyebabkan 13 rakyat Malaysia terkorban dalam kemalangan di Chiang Mai pada 20 Dis lepas, hampir selesai dan hanya menunggu keputusan ujian dadah lelaki itu.
Pegawai penyiasat di balai polis wilayah Doi Saket, Kapten Polis Sanan Promna berkata mereka telah mengumpul lebih 500 halaman kertas siasatan berhubung kes itu.
"Kami hampir selesaikan kes ini dan kami hanya menunggu keputusan ujian dadah (pemandu) dari Hospital Nakornping di Chiang Mai sama ada dia di bawah pengaruh dadah atau narkotik semasa kejadian itu," katanya kepada Bernama hari ini.
Katanya pemandu bas itu boleh dikenakan pertuduhan tambahan jika dia didapati mengambil dadah, sambil menambah polis akan menyerahkan kertas siasatan itu kepada pihak pendakwaan tidak lama lagi.
Sanan berkata semasa soal siasat, suspek menafikan dia terlibat dalam kejadian langgar lari dengan kenderaan lain hingga menyebabkan insiden kemalangan itu.
Pemandu bas itu katanya masih dalam tahanan reman selepas pihak polis mendapat lanjutan perintah reman kali ketiga sejak kemalangan itu -- di bawah undang-undang Thailand perintah reman boleh dilanjutkan sehingga tujuh kali.
Pegawai polis itu berkata suspek akan didakwa mengikut Seksyen 291 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum 20,000 bath (RM2,400) jika didapati bersalah.
Pihak berkuasa katanya mahu menyelesaikan kes itu dengan segera dan akan mengemukakan kertas siasatan kepada pihak pendakwaan selepas menerima keputusan ujian dadah suspek.
"Ini adalah kes penting kerana ia membabitkan ramai rakyat Malaysia dan Thailand," kata Sanan.
Tiga belas rakyat Malaysia terbunuh dan sembilan yang lain cedera apabila bas persiaran yang mereka naiki terbabas ke dalam gaung selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan pikap di Chiang Mai, utara Thailand pada 20 Dis 2015.
Ketika kejadian, bas itu dalam perjalanan dari wilayah Chiang Rai ke wilayah Chiang Mai.
Menurut Sanan, pemandu bas itu mendakwa brek basnya tidak berfungsi, sehingga menyebabkan kemalangan itu berlaku, tetapi siasatan polis mendapati suspek memandu laju walaupun melalui kawasan gunung yang curam di Chiang Mai dan Doi Saket.
Mengenai perkembangan dua rakyat Malaysia yang masih menjalani rawatan di Hospital Bangkok Chiang Mai, beliau berkata pesakit itu akan dibebaskan minggu depan selepas dimaklumkan oleh saudara mereka.
Kedua-dua rakyat Malaysia itu katanya semakin pulih dan telah boleh berjalan.
-- BERNAMA
Polis Thailand Masih Tunggu Keputusan Ujian Dadah Pemandu Bas Chiang Mai
Reviewed by Unknown
on
January 20, 2016
Rating:

No comments: