Seo Services

KPKT Nafi Tawar Skim Kediaman K1MMM

PUTRAJAYA, 3 Mac (Bernama) -- Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN) tidak pernah menawarkan skim Program Kediaman 1Malaysia Mampu Milik (K1MMM) yang ditawarkan oleh Serata Prima Sdn Bhd kepada orang awam.

Ketua Pengarah JPN Datuk Mohamad Yusoff Ghazali berkata skim palsu yang ditawarkan oleh Syarikat Serata Prima Sdn Bhd itu menggunakan logo KPKT, logo JPN dan logo Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) yang diuruskan oleh JPN.

"Jabatan ini tidak pernah memberi sebarang kelulusan kepada mana-mana syarikat atau agensi untuk menjadi orang tengah dalam permohonan dan pelaksanaan Program MyHome," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohammad Yusoff berkata JPN telah membuat satu laporan polis mengenai perkara tersebut di Balai Polis Presint 7, di sini semalam.

Beliau meminta orang ramai melaporkan kepada JPN sekiranya menemui mana-mana tawaran skim perumahan yang meragukan.

Orang awam dan bakal pembeli rumah juga boleh menyemak kesahihan berkenaan insentif atau skim perumahan yang dikeluarkan oleh mana-mana pemaju perumahan dengan melayari portal rasmi JPN iaitu http://ehome.kpkt.gov.my atau menghubungi Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Perumahan Negara di talian: 03 - 8000 8000. -- BERNAMA
KPKT Nafi Tawar Skim Kediaman K1MMM KPKT Nafi Tawar Skim Kediaman K1MMM Reviewed by Admin on March 03, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.