KUCHING: Sarawak menyasarkan untuk membina 9,185 unit rumah mampu milik berkualiti di bawah lapan projek pembangunan menjelang 2019.
Menteri Perumahan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata kementeriannya bekerjasama dengan Suruhanjaya Pembangunan Perumahan negeri, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan pemaju tempatan untuk membina rumah berkenaan.
Bercakap pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini, beliau berkata projek itu dibangunkan di Siol Kandis (Vista Tunku dengan 1,877 unit), Matang (Matang 1 - 912 unit dan Matang 2 - 448 unit), serta di Semenggoh (1,260 unit).
Beliau berkata dua lagi projek yang dibangunkan di sini adalah di Petrajaya 2 (616 unit) dan Bintawa (1,320 unit).
"Bakinya akan dibina di Sibu (1,096 unit) dan Sungai Plan di Bintulu (1,656 unit).
"Rumah berkenaan akan dijual dari RM100,000 hingga RM300,000 seunit, bergantung kepada jenisnya tetapi secara umum, 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran."
Abang Johari berkata terdapat keperluan untuk membina lebih banyak rumah berikutan terdapat peningkatan jumlah mereka yang kini lebih berminat untuk tinggal di kawasan bandar.
"Menjelang 2025, disasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus daripada penduduk negeri ini akan tinggal di bandar manakala 40 peratus lagi di kawasan luar bandar," katanya.
Abang Johari berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, diiringi Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, dijangka merasmikan jerayawara perumahan PR1MA pada 12 Mac ini di Bangunan Sidang Undangan Negeri Lama di sini.
"Jerayawara itu sebenarnya akan bermula sehari lebih awal pada Jumaat dan diadakan sehingga Ahad, 10 pagi hingga 7 malam," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Datuk Abdul Mutalib Alias, yang turut hadir dalam sidang akhbar itu, berkata perbadanan itu akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa berkaitan yang lain dan pemaju setempat untuk mengenal pasti kawasan bersesuaian untuk pembinaan lebih banyak rumah PR1MA.
"Kami setakat ini merancang untuk membina sejumlah 233,380 unit di seluruh negara dan daripada jumlah ini, 75,859 unit sedang dalam pelbagai peringkat pembinaan," katanya.
Kalangan berpendapatan sederhana di negeri ini digesa berdaftar menerusi laman web rasmi www.pr1ma.my bagi mendapatkan peluang memiliki rumah sendiri. - BERNAMA
Sarawak Bina 9,185 Rumah Mampu Milik Berkualiti Menjelang 2019
Reviewed by uMieySurianie
on
March 03, 2016
Rating:

No comments: