1984 tahun istimewa sepatutnya. Tanggal 1 Syawal jatuh pada 30 Jun – Hari Lahir ke 17.
Namun, tiada sebutir pun memori Aidil Fitri mahu pun kenangan Hari Lahir yang indah pada tahun bertuah itu.
1984 tahun memori indah jatuh pada hujung tahun yang havoc. Tanggal 2 Disember, filem Azura ditayangkan di pawagam seluruh negara!
Itu tahun gemilang Jamal Abdillah dan Ogy Ahmad Daud. Juga tahun cemerlang bagi M. Borhan sebagai Pengarah dan Sabah Film sebagai Penerbit. Juga tahun M. Amin penulis skrip Azura.
Banyak filem cinta yang sudah ditonton sebelum itu, ketika usia remaja sedang menginjak mekar. The Blue Lagoon lakonan Brooke Shield dan Moment By Moment lakonan John Travolta sudah lebih awal ditayangkan. Begitu juga dua filem legenda Bollywood – Sholay dan Qurbani yang meninggalkan kesan besar pada pecandu filem roman.
Cuma Azura muncul dengan wajah baharu. Melenyapkan memori filem Dendang Perantau lakonan Latiff Ibrahim dan Teh Faridah serta filem Hapuslah Air Matamu gandingan Broery Marantika dan Syarifah Aini.
Azura muncul pada era remaja masih menulis surat cinta yang ditaburkan bedak talkum wangi sebelum diposkan. Ketika orang dewasa masih tujukan lagu cinta di corong radio pada secret admire. Era rasa cinta tidak diluahkan cara terbuka.
Tahun 1984, rasa cinta tidak dilafazkan secara real, tapi ditulis dan disiarkan di pojok akhbar harian serta lembaran majalah bulanan.
Kisah cinta Jamal sebagai Zack dan Ogy sebagai Azura memberikan tenaga cinta luar biasa pada remaja ketika itu. Pada zaman ungkapan cinta secara gentlemen satu perlakuan aneh.
Azura muncul ketika hubungan cinta belum ada budaya declare untuk pasangan yang saling menyayangi.
Pada saya – Mana boleh Azura! Ini zaman anak remaja seperti saya sedang dipengaruhi pemberontakkan muzik rock. Ini era ACDC, Black Sabbath dan Queen mengganas dalam jiwa rockers 20 sen!
Azura muncul dengan latar baharu. Meninggalkan era cinta filem Jiwa & Lagu dengan muzikal bergaya kereta sport warna merah tanpa bumbung. Meninggalkan era cinta hiba ala filem Sumber Ilhamku.
Zack dan Azura mencetuskan fenomena. Kalau nak bercinta dan memenangi hati kekasih – hero tidak lagi perlu mengirim surat cinta dengan adunan bedak talkum dalam lipatan envelop. Heroin bukan lagi gadis yang melekapkan telinga di corong radio menantikan juruhebah menyebutkan namanya sebagai penerima lagu.
Zack membawakan nafas baharu untuk pencinta. Jiwa mesti kental. Azura menjadi idola baharu gadis kilang: *Cinta bukan lahir di corong radio. Gadis yang mahu memenangi cinta kekasihnya harus bersedia berkorban atau terkorban dek penangan cinta.*
Azura mengakhiri zaman skuter dan vespa ala filem cinta stok zaman Jalan Ampas di Singapura. Juga melupuskan era hero menunggang scrambler sambil mengendong gitar merentas jalanraya dari kampung pedalaman ke Kuala Lumpur ala filem Kisah Seorang Biduan.
Kenapa hebat sangat filem Azura?
Ia hebat kerana Zack imej baharu hero Malaya. Zack berjiwa kental. Sekental motorsikal Yamaha Katana RD250 yang ditunggangnya. Zack anak hartawan Melayu yang mula bercambah tumbuh pada dekad 80an hasil ledakan Dasar Ekonomi Baharu gagasan Tun Abdul Razak selepas Tragedi 13 Mei 1969. Katana 250 yang ditunggang Zack berharga RM10 ribu.
Ini era orang bekerja dengan gaji RM10 sehari sebagai penjual buah-buahan di Pekan Rabu. Ketika itu gaji pekerja di Pasar Chow pula sekitar RM20 sehari walaupun bermandi peluh selama 14 jam.
Filem Azura dipenuhi aksi motorsikal kuasa tinggi yang bukan calang-calang harganya. Pada 1984 – hanya ada sebuah sahaja motorsikal Yamaha Katana RD250 di Alor Setar. Milik pemuda Melayu yang kacak dan kaya. Punya bengkel pengiklanan sendiri.
Pada era itu, anak muda di seluruh negara hanya mampu memiliki motorsikal terpakai Yahama Cub CDi 80cc berharga sekitar RM800.
2 Disember, selepas tamat SPM dan ditahan 14 hari, saya dibebaskan dari lokap IPD Polis Alor Setar sebagai remaja bersih dadah. Bebas bersama ratusan remaja lain yang diangkut masuk ke trak Black Maria secara rambang dalam Ops Cegah Dadah.
Setelah 14 hari tidur makan dalam lokap, sebaik saja dibebaskan, saya terus berjalan kaki dari IPD Alor Setar ke Pekan Rabu. Cepat-cepat menuntut baki wang gaji dan terus menyeberang jalan ke Pawagam Cathay. Setelah penat berebut dan berasak-asal selama 30 minit, akhirnya berjaya membeli tiket berharga RM2. Stress dikurung polis selama dua minggu, membuatkan saya segera masuk ke pawagam dan melayan cinta Zack dan Azura.
Dengan senarai pelakon top termasuk Syed Sobri, Raffi Hussein dan A. Galak – Azura memang fenomena. OST susunan M. Nasir melengkapkan mood cinta maut filem itu. Namun, kesan sebenar yang dialami puluhan ribu anak muda yang menonton filem itu termasuk saya – tentunya tergila-gilakan YamahaKatanaRD250.
Namun sayangnya, motorsikal paling trending sejak ledakan filem Azura itu, tidak pernah dimiliki sampai sekarang!
Sekadar makluman – sekali pun sudah lebih 30 tahun Azura ditayangkan, model legend YamahaKatanaRD250 itu kini bernilai lebih RM30 ribu dalam pasaran koleksi klasik dan masih diburu penggila motorsikal generasi pecandu filem Azura
Wowww. Inilah antara tinggalan memori klasik filem cinta maut AzuraTheLegend.
Banyak filem cinta yang hebat, memorinya terhasil apabila OSTnya diputarkan semula. Tetapi AzuraTheLegend menghambat kenangan setiap kali terserempak motorsikal klasik #YamahaKatanaRD250. – Mynewshub
AzuraTheLegend #YamahaKatana250
Reviewed by Unknown
on
July 11, 2016
Rating:
No comments: