KUCHING: Dua lelaki disyaki pengedar dadah ditembak mati selepas cuba menyerang anggota polis dalam satu serbuan di ladang kelapa sawit di Jalan Sebauh-Pandan, Bintulu kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar berkata, kedua-dua suspek dipercayai warga asing berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui di tempat kejadian.
Menurutnya, serbuan pada jam 11.30 malam Selasa lepas dilakukan selepas polis mendapat maklumat berlaku kegiatan membungkus dan mengedar dadah jenis Methamphetamine (syabu) di ladang tersebut.
“Polis menyerbu masuk ke sebuah pondok di ladang berkenaan menyebabkan kedua-dua suspek cuba melarikan diri sebelum seorang daripadanya yang bersenjatakan keris bertindak menyerang anggota polis.
“Ekoran itu, tiga das tembakan terpaksa dilepaskan ke arah suspek menyebabkan seorang lagi suspek yang bersenjatakan parang terus melarikan diri melalui pintu belakang pondok tersebut.
“Seorang anggota polis yang berkawal di belakang pondok tersebut cuba menahan suspek namun diserang sehingga memaksa dia melepaskan tembakan ke arah suspek,” kata Dev dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Tambahnya, kedua-dua suspek disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan hasil pemeriksaan turut menemui beberapa peralatan disyaki digunakan untuk membungkus dadah.
“Selain menemui syabu yang telah dibungkus, polis turut menemui alat penimbang dan beberapa bungkusan plastik yang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah,” katanya.
Mayat kedua-dua suspek telah dihantar ke Hospital Bintulu untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB).
“Identiti kedua-dua suspek belum dapat dikenal pasti buat masa ini dan kami ada sebab mempercayai mereka(suspek) adalah warga asing.
“Cap jari kedua-dua mereka akan diperiksa untuk mengesan sama ada mereka pernah terlibat dengan mana-mana kes jenayah sebelum ini dan kita mengesyaki mereka berada di bawah pengaruh dadah semasa serbuan dilakukan,” katanya
Sementara itu, Dev turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Polis Daerah (KPD) Bintulu Superintenden Zailanni Amit yang mengetuai operasi tersebut.
“Tahniah kepada KPD Bintulu dan pasukannya di atas tindakan bijak dalam berhadapan dengan situasi tersebut kerana kita jangka mungkin ada anggota yang tercedera atau maut jika tiada tindakan sedemikian diambil,” katanya.-UB
Dua Lelaki Ditembak Mati Di Bintulu
Reviewed by Unknown
on
July 08, 2016
Rating:

No comments: