Sekadar gambar hiasan |
Teringat kisah penanggal bermahajarela pada tahun 1986 di Sarikei. Penulis ketika itu masih di tingkatan 4 dan suka lepak bersama kawan bermain gitar selepas waktu Isya' dipinggir jalan kampung.
Dalam keseronokan bermain gitar datang seorang sahabat menyatakan penanggal sudah muncul di Sarikei. Beliau menyatakan bahawa seorang wanita yang baru melahirkan anak sulung meninggal di hospital Sarikei waktu akibat serangan penanggal.
Kami sahabat terpinga-pinga mendengar khabar tersebut. Untuk mengetahui sama ada cerita wanita itu meninggal, kami terus menuju ke rumah keluarga wanita tersebut setelah mengetahui jenazah telah dibawa ke rumah.
Bermacam cerita kami dengar ketika orang ramai yang hadir menceritakan tentang kehadiran penanggal. Kami terus kembali ke rumah masing-masing dan hadir ke upacara pengebumian pada keesokan harinya.
Bila malam menjelang kami teruskan aktiviti seperti biasa namun belum sempat bermain gitar kelihatan orang ramai telah berkumpul di jalan. Kami semua kaget dan tertanya-tanya sama sendiri.
Dalam keadaan keliru datang lelaki dewasa memberitahu kami bahawa mereka berkumpul kerana ingin menangkap penanggal kerana baru sebentar tadi terdapat seorang lagi wanita yang baru melahirkan anak sulung telah meninggal di kampung sebelah.
Lelaki berkenaan turut menasihati kami agar mencari daun duri yang terdapat ditebing sungai untuk dibuat pagar di keliling tiang rumah jika terdapat ahli keluarga yang sarat mengandung anak sulung.
Kami bersahabat terus gotong royong mencari daun tersebut walaupun dalam keadaan gelap. Berbekalkan lampu suluh kami kumpul daun duri di tebing sungai yang tidak jauh dari rumah penulis.
Kebetulan dalam rumah penulis ada makcik yang sedang sarat mengandung anak sulung. Maka kami terus mengikat tali keliling rumah dan menggantung daun tersebut rapat-rapat.
Pada keesokan malamnya kami mengikuti kumpulan lelaki dewasa berkumpul di jalan dan menyertai misi menangkap penanggal. Kami ditugaskan untuk memerhati ke udara jika ada benda pelik sedang berterbangan. Kami bersahabat akur dengan tugas yang diamanahkan.
Hampir 2 jam kami memerhati ke udara, tiba-tiba salah seorang sahabat berkata ada cahaya merah kecil sedang bergayut di hujung daun pokok kelapa. Kami pun senyap-senyap menuju kearah lelaki dewasa dan memberitahu mereka secara berbisik.
Kumpulan lelaki tadi dengan senyap hanya memerhati sahaja cahaya kecil tersebut. Tidak lama lepas itu, kira-kira sejam memerhati, cahaya tersebut terbang ke arah kampung dan kumpulan lelaki tersebut mengekori secara senyap-senyap.
Kami tidak dibenarkan mengikuti mereka. Selepas itu kami tidak lagi mengetahui kisah selanjutnya. Ada yang mengatakan penanggal telah dapat ditangkap di sebuah rumah yang berada di kampung dan ada pula menyatakan penanggal tersebut sempat lari selepas menghidu bahawa beliau telah diintai oleh orang kampung.
Penulis dan sahabat sehingga kini tidak mengetahui bagaimana rupa sebenar penanggal kerana kami cuma melihat cahaya merah kecil yang bergayut di daun pokok kelapa dan melihat ia terbang.
Tetapi yang menghairankan, sejak dari itu tiada lagi kedengaran wanita yang melahirkan anak sulung meninggal secara berturut-turut.
Apa pun yang berlaku semuanya kehendak Allah SWT dan sebagai manusia mampu berfikir bahawa setiap perkara yang berlaku semuanya kehendak Allah SWT.-Sarawakiana
Penanggal Cari Mangsa Lahir Anak Sulung
Reviewed by Unknown
on
August 26, 2016
Rating:
No comments: