KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui puas selepas berjaya merekodkan gelaran keenam Terbuka Jepun, semalam.
"Kalau diberi pilihan memang saya mahu berehat dulu selepas Olimpik Rio kerana hanya berehat selama seminggu dan selepas itu sudah kembali menjalani latihan.
"Namun, disebabkan tanggungjawab saya dengan peminat di Jepun yang menunggu saya di sini, saya tetap bermain juga.
"Apabila saya buat keputusan untuk bermain, saya pasti akan melakukan yang terbaik. Saya gembira kerana berjaya menjadi juara buat kali keenam dan diharapkan saya boleh lebih fokus untuk kejohanan seterusnya," kata Chong Wei.
Pemain nombor satu dunia itu muncul juara selepas menewaskan pemain Denmark, Jan O Jorgensen 21-18, 15-21, 21-16 dalam aksi final. Chong Wei sebelum ini muncul juara sebanyak lima kali dalam kejohanan itu bermula 2007, 2010, 2012, 2013 dan 2014.
Kejuaraan di Tokyo adalah yang kelima diraihnya tahun ini selepas turut muncul juara pada Malaysia Masters, Terbuka Malaysia, Kejohanan Badminton Asia dan Terbuka Indonesia. Chong Wei bagaimanapun membuat keputusan untuk menarik diri daripada beraksi pada Terbuka Korea Selatan yang dijadual bermula esok.
"Saya sudah tarik diri daripada Terbuka Korea dan akan pulang ke Malaysia. Selepas pulang saya akan menyambung latihan seperti biasa," kata Chong Wei yang memenangi pingat perak pada Olimpik Rio.- BH
Chong Wei Puas Rangkul Gelaran Keenam Terbuka Jepun
Reviewed by uMieySurianie
on
September 26, 2016
Rating:

No comments: