Seo Services

Pelarasan Ringgit Perlu Dilihat Daripada Perspektif Jangka Panjang: BNM


SUBANG: Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Muhammad Ibrahim menegaskan pelarasan ringgit perlu dilihat daripada perspektif jangka panjang dan bukannya jangka pendek.

Beliau berkata dalam tempoh jangka pendek, pergerakan kadar pertukaran boleh bertindak balas terhadap perkembangan terkini dan sentimen pasaran dan bukannya mencerminkan kekuatan pendasar ekonomi.

"Justeru itu, apa yang penting adalah memastikan penyediaan rizab yang besar, mengekalkan asas ekonomi kukuh dan menangani pendedahan kita kepada hutang luaran," katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-30 Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) di sini, Isnin.

Muhammad berkata kebimbangan global akan pemulihan dasar monetari oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) terus memberi kesan kepada mata wang tempatan itu.

Beliau berkata turun naik ringgit sejak September 2014 telah mengatasi paras sebelumnya ketika pelarasan semasa tempoh-tempoh seperti Krisis Hutang Eropah dan pengurangan program belian bon AS.

"Ringgit yang lemah diburukkan lagi dengan salah tanggapan tentang kebergantungan Malaysia terhadap komoditi dan kedudukan kita sebagai pengeksport bersih minyak," katanya.

Sementara itu, Muhammad berkata Malaysia perlu meningkatkan kembali pertumbuhan dan produktiviti selain membina semula keterangkuman untuk meraih kemajuan yang berterusan dan mampan serta berjaya menghadapi landskap global semasa.

"Mempunyai pertumbuhan di bawah paras sederhana selama hampir satu dekad kini, penggubal dasar perlu melihat semula apa yang kita telah pelajari dan memikirkan semula mengenai pendekatan kita daripada fiskal kepada dasar monetari dan isu-isu struktur yang perlu ditangani, bagi membolehkan kita menghapuskan sebarang halangan kepada pertumbuhan.

"Kita perlu menggubal dasar yang membolehkan sektor swasta menghidupkan semula dinamik mereka dan meneroka strategi baharu bagi membolehkan mereka terlibat dan membuka peluang pelaburan yang produktif," katanya.

Muhammad berkata penggubal dasar dan sektor swasata juga perlu mengautomasikan dan menggunakan teknologi untuk meningkatkan produktiviti dan menolak jalan mudah dengan bergantung kepada model buruh kos rendah untuk daya saing.

Beliau menggesa pemimpin daripada sektor awam dan swasta supaya membantu meningkatkan penyertaan pasaran buruh merangkumi jantina, kepercayaan dan kewarganegaraan serta mengimbangi sebarang kos sosial negatif yang mungkin wujud sebagai pertumbuhan produk sampingan. - BERNAMA
Pelarasan Ringgit Perlu Dilihat Daripada Perspektif Jangka Panjang: BNM Pelarasan Ringgit Perlu Dilihat Daripada Perspektif Jangka Panjang: BNM Reviewed by Azmin on September 27, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.