Hidup di bandar segala-galanya mudah asalkan sanggup keluarkan perbelanjaan lebih. Dari mengadakan majlis kenduri kecil-kecilan sehingga majlis resepsi perkahwinan turut menjadi mudah kerana segala bentuk kerja diserah kepada pengusaha perniagaan berkaitan majlis-majlis keramaian.
Tidak seperti penduduk pesisir dan luar bandar, amalan bergotong royong masih diamalkan walaupun sekadar majlis yang kecil. Sikap ringan tulang masih terpahat dalam amalan harian penduduk.
Bukan masyarakat bandar tidak mementingkan amalan bergotong royong, tetapi atas faktor masa menyebabkan amalan tersebut sukar untuk dilakukan dan semakin terhakis daripada kehidupan.
Penulis sambil minum kopi 'O' panas kurang manis di sebuah rumah yang bakal melangsungkan majlis perkahwinan keesokan hari melihat betapa kehidupan masyarakat di kampung begitu harmoni bila mereka membantu menyiapkan kerja untuk majlis tersebut dengan mengamalkan gotong royong.
Masyarakat kampung berkumpul di rumah tuan majlis sambil melakukan tugas seperti memotong bawang, daging, ayam dan sebagainya tanpa perlu diberi arahan. Semuanya dilakukan dengan ikhlas untuk meringankan beban tugas tuan majlis.
Beginilah suasana di kampung bila sesuatu majlis hendak dilangsungkan. Penglibatan penduduk membantu sesama mereka membuktikan ukhwah penduduk kampung tetap utuh. Sebab itu sesiapa sahaja berada di bandar pasti akan rindu untuk pulang ke kampung bila ada majlis keramaian dilangsungkan kerana suasananya berbeza daripada bandar.-Sarawakiana
Aram Ngupi : Rindu Suasana Kampung
Reviewed by Unknown
on
December 16, 2016
Rating:
No comments: