Seo Services

Kaut Hasil Di Perairan Miri, Nelayan Suluk Dibantu Orang Tempatan


MIRI: Operasi perkhidmatan bot memancing dijalankan individu tertentu dipercayai menjadi dalang kepada kegiatan nelayan Suluk menyelongkar sumber marin di perairan Miri.

Nelayan, Abdul Hamid Hasnan, 60, berkata kegiatan itu telah dikesan dengan nelayan Suluk ini menyewa bot daripada individu yang menyediakan perkhidmatan bot bagi tujuan memancing.

“Individu mempunyai bot ini menyewakan bot mereka kepada nelayan asing dan membiar nelayan ini mengaut sumber marin seterusnya hasilnya dijual semula kepada orang tengah,” katanya kepada Utusan Borneo di sini kelmarin.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan harus menghidu taktik terbaharu nelayan asing ini bagi memastikan kumpulan pernah diusir keluar Sarawak tidak kembali menawan perairan Miri.

“Nelayan Suluk ini dikesan aktif memancing ikan menggunakan joran bagi mengelak di kesan pihak penguat kuasa yang melakukan rondaan di sekitar perairan negara,” katanya.

Tambahnya, kumpulan itu dilihat berlegar-legar di kawasan pelantar minyak berhampiran Miri seperti di Bokor, Tukau dan Betty malah kadangkala berhampiran sempadan Brunei dan E11.

“Mereka ini bijak dan akan turun ke laut pada awal pagi atau lewat malam bagi mengelak dikesan pihak keselamatan dan taktik ini diubah daripada menunda pukat kepada penggunaan joran,” jelasnya.

Abdul Hamid juga menceritakan bahawa dia pernah terserempak dengan dua bot nelayan yang turut memancing berhampiran sempadan Kuala Baram-Kuala Belait, Brunei dan mendapati terdapat pemancing asing.

“Saya pernah menegur dan bercakap dengan mereka, apa yang pasti mereka bukan orang tempatan dan loghat bahasa mereka juga seperti bahasa Filipina,” jelasnya.

Dia juga memberitahu terdapat sejumlah Suluk dan Bajau dipercayai menyewa di Kampung Wireless Miri yang berdekatan dengan muara Sungai Miri bagi memudahkan mereka bekerja di pusat bandar itu.

“Kita berharap pihak berkuasa memantau dan mengenal pasti kumpulan ini sama ada mereka datang ke sini dengan kebenaran kerajaan atau secara haram,” katanya.-UB
Kaut Hasil Di Perairan Miri, Nelayan Suluk Dibantu Orang Tempatan Kaut Hasil Di Perairan Miri, Nelayan Suluk Dibantu Orang Tempatan Reviewed by Unknown on December 16, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.