Seo Services

Bantuan Berterusan Kerajaan Bantu Rangsang Ekonomi Tempatan - Najib



PEKAN, 17 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan bantuan berterusan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan bertujuan menggalakkan rakyat terus bergantung kepada kerajaan, sebaliknya untuk membantu merangsang ekonomi tempatan.

Najib berkata BR1M yang diperkenalkan pada 2012 bukan sahaja dapat membantu mengurangkan beban rakyat, tetapi juga terbukti dapat merangsang ekonomi penduduk setempat apabila wang itu dibelanjakan di kedai-kedai, pasar tani atau pasar malam untuk membeli keperluan asas setiap hari.

Berucap pada program lawatan kerja dan ramah mesra bersama masyarakat setempat di pantai Kampung Nenasi di sini hari ini yang disertai lebih 1,000 penduduk, Najib berkata sebagai contoh, tahun ini sebanyak RM31.5 juta diperuntukkan kepada Parlimen Pekan untuk bayaran BR1M kepada 43,729 penerima.

"Kalau kita lihat memang pelbagai bantuan yang kita berikan. Bukan kerana kita mahu rakyat terus bergantung kepada kerajaan...kita mahu rakyat berdikari, terus bekerja keras.

"Namun sebagai ketua kerajaan, menjaga kebajikan rakyat hendaklah diutamakan kerajaan. Sebab itu selepas saya menjadi perdana menteri, pelbagai bantuan yang belum diperkenalkan saya laksanakan.

"...RM31.5 juta itu memberi suntikan kepada ekonomi setempat. Siapa yang mendapat RM31.5 juta itu? Tentu yang dapat ialah peniaga, penjaja dan mereka yang menjual keperluan bahan asas dan sekarang ini yang jual barangan sekolah," katanya.

Sehubungan itu, Najib berkata BR1M bukan hanya tertumpu kepada kebajikan, tetapi juga harus dilihat dari sudut ekonomi dan sudah pasti penjaja turut terasa kesan jika bantuan itu tiada.

Najib turut menempelak pihak yang mempertikaikan pemberian bantuan oleh kerajaan termasuk pembangkang yang menyifatkan BR1M sebagai dedak, sedangkan jika bantuan tidak diberi, mereka menuduh kerajaan tidak menjaga kebajikan rakyat pula.

"Memang kita tidak putus-putus beri bantuan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk. Hanya mereka yang mungkin ada mata tapi tidak mahu melihat, ada telinga tetapi tuli atau sengaja mahu menghasut rakyat sahaja menafikan bantuan menyeluruh daripada kerajaan.

"Saya rasakan sukar untuk kita lihat bantuan seperti ini diberikan di negara-negara lain...tak mungkin ada macam yang diberikan oleh kerajaan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) ini," katanya.

Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan turut menyelar pembangkang yang sentiasa menghasut rakyat untuk membenci apa juga tindakan kerajaan, termasuk mempolitikkan lawatannya ke China dengan menyifatkan 'beliau cuba untuk menjual negara'.

Beliau berkata ini semua dilakukan kerana pembangkang tidak mampu untuk melakukan apa yang dilaksanakan oleh kerajaan menyebabkan mereka mengambil tindakan terdesak menghasut rakyat kerana ketiadaan modal lain untuk dijaja.

Pada ucapannya, Najib turut menyentuh projek Transit Aliran Massa (MRT) yang bukan sahaja menguntungkan penduduk bandar dengan mengurangkan kesesakan, tetapi juga membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak muda, yang mungkin berasal dari kampung.

"Bukan sahaja MRT, tetapi pembinaan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dari Pelabuhan Klang dan melalui pertengahan Pahang, mengikut andaian akan menambah 1.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pantai Timur," katanya.

Pada program itu, Najib turut meluluskan peruntukan RM50 juta untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Nenasi dan Tanjung Batu, Pekan dan RM50 juta untuk projek mengatasi masalah hakisan pantai di Nenasi.

Beliau juga mengumumkan peruntukan RM50,000 untuk membeli mesin ais baharu bagi kegunaan nelayan di Nenasi selain menyampaikan pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional berjumlah RM4.07 juta kepada 332 usahawan Parlimen Pekan.

-- BERNAMA
Bantuan Berterusan Kerajaan Bantu Rangsang Ekonomi Tempatan - Najib Bantuan Berterusan Kerajaan Bantu Rangsang Ekonomi Tempatan - Najib Reviewed by Azmin on December 17, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.