KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) telah memulakan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 terhadap sebuah institusi kewangan melibatkan penetapan kadar pertukaran ringgit dan dolar Amerika Syarikat (AS).
Menurut BNM, tindakan itu dibuat selepas institusi kewangan terbabit gagal memaklumkan dengan segera mengenai dapatan audit yang signifikan berhubung salah laku perniagaannya.
“Dapatan menunjukkan terdapat komunikasi dengan pedagang daripada institusi kewangan asing lain termasuk rujukan yang tidak sewajarnya terhadap proses penghantaran penetapan kadar (tukaran mata wang),” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.
BNM menegaskan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana institusi kewangan yang melanggar peraturan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan (APK) 2013.
Jelas bank pusat itu, pihaknya mengambil serius pelanggaran pelaporan terutama penglibatan institusi kewangan dalam pasaran kontrak hadapan tanpa serahan (NDF) ringgit luar pesisir atau sebarang aktiviti berkaitan ke arah memanipulasi pasaran.
“Tindakan penguatkuasaan termasuk mengenakan penalti monetari, mengeluarkan arahan pematuhan secara bertulis, memberi amaran awam dan mengeluarkan arahan pematuhan secara bertulis untuk mengurang atau menyelesaikan pelanggaran terhadap peruntukan tersebut,” jelasnya.
Bank pusat itu dalam kenyataan pada 13 November lalu mengingatkan semua institusi kewangan untuk mematuhi obligasi pelaporan di bawah APK 2013 khususnya keperluan untuk segera memaklumkan apa-apa penemuan yang penting.
Jelasnya, tiada perubahan dalam Pentadbiran Peraturan Pertukaran Asing (FEA) dan tidak ada langkah baharu yang diperkenalkan.
“Ringgit kekal sebagai mata wang yang tidak diurusniagakan pada peringkat antarabangsa, sekali gus sebarang urus niaga dalam ringgit luar pesisir seperti kontrak (NDF) bagi ringgit adalah tidak diiktiraf,” jelas BNM.
Bermula 5 Disember lalu, BNM dengan kerjasama Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) melaksanakan enam inisiatif bagi memperkukuhkan kedudukan ringgit dalam pasaran kewangan tempatan.
Menurut Penolong Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid, sebagai negara yang bergantung kepada aktiviti perdagangan, pengeksport boleh mengekalkan sehingga 25 peratus hasil eksport dalam mata wang asing dan selebihnya dalam ringgit.
Jelas BNM, orang ramai dinasihatkan supaya menghubungi institusi kewangan berlesen di negara ini untuk keperluan tukaran wang asing.- Utusan Malaysian
BNM Mula Kuat Kuasa Akta Perkhidmatan Kewangan 2013
Reviewed by uMieySurianie
on
December 28, 2016
Rating:
Reviewed by uMieySurianie
on
December 28, 2016
Rating:

No comments: