Seo Services

Dasar Kerajaan Untuk Bantu Rakyat Walaupun Tidak Popular - Najib

Image result for Najib Razak
PEKAN, 17 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata setiap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah bertujuan untuk membantu rakyat walaupun kadangkala tindakan yang dilakukan itu tidak popular.

Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan berkata contohnya semasa memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada April tahun lepas, banyak pihak yang mempertikaikan tindakan itu dan beranggapan ia tidak perlu dilakukan.

"Apabila GST diperkenalkan, kerajaan dimomokkan...dikutuk, tetapi kalau kita tidak ada GST macam mana kita nak membuat program untuk membantu rakyat terutama golongan B40 (isi rumah berpendapatan rendah), daripada mana kita hendak mendapat hasil jika harga minyak merudum.

"Jawapannya mestilah menerusi sistem kutipan hasil GST dan apabila ada sistem itu kita pulangkan semula hasilnya kepada rakyat terutama kepada golongan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penyerahan kunci rumah dan kios penjaja di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) Parlimen Pekan di Kampung Pulau Jawa, di sini hari ini.

Najib berkata hasil kutipan itu juga, kerajaan dapat melaksanakan banyak program kebajikan untuk rakyat termasuk menyediakan Skim Perumahan Mampu Milik di bawah Suruhanjaya Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang memberikan subsidi sehingga RM31,000 bagi mereka yang membinanya di atas tanah sendiri.

"Bukan itu sahaja, kita juga ada Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang kita jual dengan ada jumlah subsidinya mencecah sehingga RM80,000. Cuba bayangkan, ini semua rahmat kini hidup dalam sebuah negara yang aman dengan kerajaan mengamalkan dasar mengutamakan kebajikan rakyat.

"Sebab itu kita mestilah melihat, segala usaha kebajikan ini tidak datang bergolek mahupun melayang tetapi ia dirancang oleh kerajaan kerana dasar fiskal negara dapat menyediakan dana yang mencukupi untuk bangunkan negara dalam semua aspek," katanya.

Menurutnya rakyat di negara ini juga sepatutnya bersyukur kerana GST yang diperkenalkan oleh kerajaan masih rendah iaitu hanya enam peratus dengan pengecualian terhadap 4,000 jenis barangan terpilih sedangkan di sesetengah negara lain, kadar yang dikenakan jauh lebih tinggi, misalnya di India.

"Saya sendiri ada berkomunikasi secara langsung dengan Perdana Menteri India (Shri Narendra Modi) melalui video baru-baru ini dan beliau ada memaklumkan akan melaksanakan GST di negaranya pada April depan dengan kadar tiga hingga 23 peratus dengan tiada pengecualian terhadap apa-apa barangan," katanya.

Pada majlis itu Najib turut menyampaikan kunci rumah PPKB kepada 21 penerima bernilai RM40,000 dan 10 unit kios penjaja bernilai RM15,000 termasuk peralatan kepada golongan B40 Parlimen Pekan.

-- BERNAMA
Dasar Kerajaan Untuk Bantu Rakyat Walaupun Tidak Popular - Najib Dasar Kerajaan Untuk Bantu Rakyat Walaupun Tidak Popular - Najib Reviewed by Azmin on December 17, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.