Seo Services

Geng Gulabi Pukul Perogol, Lelaki Dayus Di India

APA yang berlaku apabila negara yang terkenal dengan berita kaum hawa dirogol, ditindas dan disakiti secara mental dan fizikal oleh lelaki saban hari, wanitanya nekad menghayun senjata bagi ‘membalas dendam’ terhadap penjenayah-penjenayah cauvinis di luar sana?

Memperkenalkan, The Gulabi Gang (Kumpulan Gulabi); sebuah kumpulan siap-siaga feminis yang aktif memperjuangkan hak asasi wanita India yang telah didera secara zahir dan batin oleh lelaki-lelaki yang rata-ratanya suami atau ahli keluarga mereka sendiri, dengan cara memukul menggunakan sebatang kayu!

Membawa maksud ‘merah jambu’ dalam bahasa Hindi, Kumpulan Gulabi ini eksklusif hanya untuk kaum wanita sahaja dan dipimpin oleh Sampat Pal Devi yang berasal daripada Bundelkhand, daerah Uttar Pradesh.

Meskipun diketuai oleh Sampat, kumpulan ini diasaskan oleh Data Satbodh Sain dan terdiri daripada wanita golongan kelas bawahan bergelar Dalit yang berusia antara lapan belas hingga enam puluh tahun.

Kumpulan ini bermula pada tahun 2002 apabila sebuah insiden mencetuskan idea dalam fikiran Sampat Pal Devi.

Dalam perjalanan pulang ke rumah pada satu malam, dia telah mendengar khabar angin bahawa salah seorang rakannya telah dipukul oleh suaminya yang pemabuk.

Bagaimanapun, pihak polis telah mengabaikan kejadian itu.

Tidak berpuas hati atas sikap tidak berperikemanusiaan pihak berkuasa itu, Sampat nekad untuk pergi menyelamatkan rakannya sendiri tetapi dicederakan dan dihalau oleh suami sahabatnya itu.

Masih berdendam terhadap lelaki itu, beliau kemudiannya mengumpulkan beberapa orang jiran dan seterusnya kembali ke rumah sahabatnya itu, sebelum membelasah suami durjana tersebut.

Peristiwa tersebut mencetuskan aspirasi Sampat untuk mewujudkan sebuah kumpulan pejuang wanita dan setakat ini, ahlinya telah berkembang ke seluruh India sehingga mencecah 400,000 orang seperti yang dilaporkan Al Jazeera pada tahun 2014.

GIAT PERJUANGKAN HAK WANITA

Selain menangani kebanyakan kes-kes yang melibatkan keganasan rumah tangga, penderaan oleh keluarga mertua dan permintaan mas kahwin, Kumpulan Gulabi juga menangani pertikaian tanah, menyelesaikan konflik kejiranan, dan membantu wanita miskin mendapatkan faedah sosio-ekonomi, daripada kemasukan sekolah hingga ke hak untuk memperoleh kad makanan percuma.

Walaupun majoriti ahlinya terdiri daripada golongan berkasta rendah, mereka memperjuangkan hak-hak wanita tanpa mengira kasta. Mereka juga diberikan bantuan pekerjaan dalam bidang pertanian, sama ada mengusahakan tanah mereka sendiri atau sebagai buruh. Antara pekerjaan wanita-wanita ini termasuk menjual sayur-sayuran, menjahit, atau perniagaan komoditi lain.

Untuk menggiatkan operasi mereka, beberapa stesen telah ditubuhkan dan setiap stesen mempunyai ketua seksyen, yang mengendalikan aktiviti harian dan masalah yang tidak rumit. Antara tugasnya adalah untuk menghantar laporan semasa yang teratur dan laporan aduan kes berat.

Ahli juga dilatih menguasai teknik balas agresif, seperti menyapu serbuk cili kepada lelaki yang didapati bersalah melakukan kekasaran terhadap wanita. Bagaimanapun, kaedah yang paling popular adalah dengan menggunakan lathis (batang buluh) seperti yang digunakan oleh pihak polis dalam rondaan.

Apa yang menarik lagi, Sampat berkata misi Kumpulan Gulabi mempunyai kadar kejayaan 100 peratus dan mereka tidak pernah gagal membawa keadilan terutamanya dalam hal-ehwal domestik.

Mungkin sudah tiba masanya kaum wanita di Malaysia juga bersatu hati bagi melindungi diri masing-masing daripada ditindas kaum lelaki. Awas, lelaki jongos! – MYNEWSHUB.CC
Geng Gulabi Pukul Perogol, Lelaki Dayus Di India Geng Gulabi Pukul Perogol, Lelaki Dayus Di India Reviewed by Azmin on December 20, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.