TAWAU: Keluarga lima warga Malaysia yang berada dalam tawanan kumpulan Abu Sayyaf sejak Julai lalu, berharap semua mangsa dibebaskan segera dan pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat menjelang tahun baharu.
Ahli keluarga tawanan itu berharap pembebasan mangsa culik dapat menamatkan 'mimpi buruk' mereka yang sentiasa bimbang memikirkan nasib tebusan yang dipercayai berada di kawasan terpencil di selatan Filipina.
Gustiah Sultan, 46, isteri kepada seorang mangsa culik, Tayudin Anjut, 45, berharap semua mangsa termasuk suaminya dibebaskan menjelang tahun baharu.
"Kami tidak putus berdoa agar tahun 2017 yang menjelang tiba beberapa hari lagi bakal membuka lembaran baharu dalam hidup kami. Saya merayu agar suami dan empat lagi tebusan dibebaskan dalam keadaan selamat kerana anak dan keluarga merindui mereka.
"Selama tempoh (suami) berada dalam tahanan, pelbagai dugaan dilalui menyebabkan kami berada dalam keadaan ketakutan selain bimbang keselamatan mereka," katanya kepada BH.
Gustiah berkata, sejak September lalu ahli keluarga mangsa culik mewujudkan tabung bagi mengutip sumbangan orang ramai bagi membebaskan semua mangsa, namun sehingga kini jumlah kutipan terlalu sedikit dan tidak mencukupi untuk membayar wang tebusan.
Selain Tayudin, empat lagi mangsa culik ialah juragan, Abd Rahim Summas, 62; Fandy Bakran, 26, dan Mohamad Jumadil Rahim, 23; semuanya dari daerah ini, manakala Mohd Ridzuan Ismail, 32, dari FELDA Jengka 7, Pahang.
Pada 18 Julai lalu, lima mangsa yang juga kru kapal tunda Serudong 3 diculik di perairan Dent Heaven di Lahad Datu, ketika perjalanan ke Semporna selepas menghantar pasir di Sandakan.
Kapal tunda itu ditemui terkandas di kawasan beting pasir dalam keadaan enjin hidup tanpa operator, manakala barangan di dalamnya berselerak sebelum semua kru disahkan diculik dan dibawa ke selatan Filipina.- Berita Harian
Keluarga Harap Abu Sayyaf Bebas 5 Tahanan Warga Malaysia
Reviewed by uMieySurianie
on
December 27, 2016
Rating:
Reviewed by uMieySurianie
on
December 27, 2016
Rating:

No comments: