MIRI: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas semalam menafikan kenyataan sesetengah pihak yang memberitahu bahawa kerajaan negeri tidak menyokong program gereja di negeri ini.
Beliau berkata, kenyataan itu adalah kurang tepat kerana kerajaan sejak dahulu hingga sekarang sentiasa komited menyokong pelbagai aktiviti keagamaan malah memberi peruntukan.
“Kerajaan sentiasa menyokong program gereja terutama perarakan Krismas setiap tahun. Malah, kita amat mengalu-alukan program itu yang menjadi medan mengeratkan perpaduan dan keharmonian masyarakat negeri ini,” katanya berucap di hadapan kira-kira 45,000 penganut Kristian yang menyertai Perarakan Krismas 2016 di Dataran Kipas Miri malam kelmarin.
Beliau turut mengumumkan peruntukan sejumlah RM50,000. Sementara itu, Menteri Muda Pelancongan Datuk Lee Kim Shin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Datuk Gerawat Gala dan Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau masing-masing menyumbang RM20,000, Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Hui Kian, ADUN Telang Usan Dennis Ngau dan ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting masing-masing mennyumbang RM10,000 menjadikan jumlah keseluruhan RM140,000.
Uggah berkata kerajaan akan terus menyokong program itu, justeru peruntukan itu digunakan untuk membiayai perarakan Krismas pada tahun depan.
Mengenai permohonan persatuan gereja di Miri untuk sebidang tanah, beliau memberitahu akan merujuk perkara itu dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat agar terus memelihara keharmonian yang wujud sejak sekian lama.
“Perarakan itu menzahirkan dasar kita khususnya Sarawak melaksanakan kebebasan beragama. Perpaduan cukup erat kalangan masyarakat berbilang kaum ini sesuatu yang membanggakan dan menjadikan negeri ini unik,” katanya.
Sementara itu, Perarakan Krismas 2016 bertemakan ‘Peace on Earth’ disertai sebanyak 15 gereja di sini yang juga antara terbesar dianjurkan sejak 2008.
Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Adam Yii dan Residen Bahagian Miri Antonio Kahti Galis serta tetamu lain. - UB
Kerajaan Sentiasa Komited Sokong Aktiviti Keagamaan
Reviewed by Azmin
on
December 05, 2016
Rating:

No comments: